Konflik Australia - Indonesia: Potret Jokowi "Disingkir" Dari Galeri Nasional @FaazFitriah

CANBERRA — Marah susulan hukuman mati dua pengedar dadah warga Australia, sebuah foto wajah Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi ‘disingkirkan’ dari ruang pameran National Portrait Gallery (NPG) di sini.

Gambar potret tersebut sebenarnya merupakan karya artis Australia sendiri, Adam Ferguson yang dimasukkan ke dalam daftar senarai anugerah berprestij kebangsaan, National Photographic Portrait Prize pada tahun ini.

Pihak pengelola galeri awam tersebut pada awalnya merancang untuk melanjutkan pameran foto itu sehingga Jun depan sempena genap setahun kemenangan Jokowi dipilih sebagai pemimpin tertinggi Indonesia tahun lalu.

Pengarah NPG, Angus Trumble  menyatakan, penarikan foto itu merupakan tindakan sementara malah, Ferguson telah dimaklumkan ekoran kebimbangan potret tersebut kemungkinan besar akan menjadi mangsa vandalisme.


Galeri itu ujarnya menerima makluman, foto Jokowi bakal dirosakkan seseorang yang ‘marah’ berikutan hukuman mati terhadap Andrew Chan dan Myuran Sukumaran pada 29 April lalu di Pulau Nusakambangan, Jawa Tengah.

“Pada pagi Rabu itu, dalam situasi operasi kami, juga berdasarkan penilaian terbaik saya tentang risiko kerosakan pada karya seni, foto Jokowi perlu ‘digugurkan’ segera dari ruang pameran NPG,” katanya kepada stesen ABC.

“Selain itu, saya dimaklumkan oleh kenyataan Perdana Menteri, Tony Abbott dan pemimpin pembangkang, serta tentu sahaja pihak parlimen Australa dengan penarikan kembali duta besar Canberra di Jakarta.” jelas Trumble.

Ferguson turut menulis status terbaharu menerusi laman Facebook-nya yang menyatakan bahawa dia amat sedih mendengar berita tentang kematian Chan dan Sukumaran, tetapi ‘bingung’ dengan keputusan pihak NPG.


“Hukuman mati itu adalah kuno, dan saya ikut berduka bersama dengan keluarga pesalah. Saya diberi tahu bahawa hari ini foto saya untuk sementara ‘dibuang’ kerana respons masyarakat terhadap duo Bali Nine itu.

“Ia sebagai menghormati nyawa pengedar dadah itu dan perasaan keluarga mereka. Namun, saya benar-benar ‘bingung’ apabila lembaga seni terkemuka Australia boleh mengambil tindakan drastik tersebut,” katanya.

Ferguson mengatakan, seni adalah tentang dialog sosial dan politik. “Galeri-galeri terkemuka di seluruh dunia berusaha untuk mempromosikan diskusi dan membuka pintu perbicangan bagi pelawat mereka,” ujarnya.


“Saya fikir bahawa memungkinkan orang untuk melihat foto yang saya hasilkan tersebut akan lebih penting pada saat ini, bahkan ia secara positif boleh membina ingatan kembali kepada nilai di sebalik keadaannya.”

Foto itu dirakamkan jurugambar profesional tersebut pada September lalu untuk dijadikan muka hadapan majalah mingguan antarabangsa, Time sempena pelantikan Jokowi sebagai presiden baharu pada bulan berikutnya.

Trumble mengakui bahawa Ferguson tidak senang dengan tindakan NPG. “Saya menelefon beliau secara peribadi untuk memberitahu rasional keputusan saya dan alasan mengapa saya terpaksa ambil keputusan itu,” katanya.

“Kami berbual mesra, dan saya menghormati pandangannya yang berbeza. Dia mengatakan bahawa dia lebih suka karyanya rosak atau hancur, daripada ‘dibuang’ langsung dari ruang pameran galeri.” – Agensi