Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang |
ALOR SETAR – PAS mengarahkan semua ahlinya mengadakan solat hajat
di tempat masing-masing bagi memohon pertolongan Allah S.W.T supaya
bekas Presiden Mesir, Mohamed Morsi diselamatkan daripada
hukuman mati yang ditetapkan mahkamah Mesir baru-baru ini.
Selain Mohamed Morsi, turut dipohon dari Allah SWT agar 100 orang pemimpin kumpulan Ikhwan Muslimin dan ulama tersohor, Dr. Yusuf Al-Qaradawi turut dibebaskan dari hukuman tersebut.
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, PAS mengutuk keras
kezaliman terbaru yang dilakukan oleh kerajaan Mesir ke atas umat Islam
negara itu.
“Apakah dosa sebenar mereka ini melainkan dendam kesumat yang ada
pada pemimpin kudeta yang gagal meredakan kemarahan rakyat meskipun
sudah hampir dua tahun berlaku rampasan kuasa.
“Saya menyeru seluruh penyokong dan ahli PAS untuk mengadakan solat
hajat di markaz dan tempat masing-masing bagi memohon pertolongan Allah
S.W.T dikurniakan bantuan kepada saudara-saudara kita yang ditekan oleh
kerajaan Firaun moden hari ini,” katanya dalam satu kenyataan malam
tadi.
Abdul Hadi menegaskan bahawa PAS yakin umat Islam Mesir tidak akan tunduk
kepada tekanan demi tekanan yang dilakukan ke atas tokoh-tokoh ulama dan pemimpin di negara itu, sebaliknya
istiqomah merupakan senjata ampuh mereka.
Mahkamah Mesir baru-baru ini menjatuhkan hukuman mati ke atas bekas
Presiden Mesir, Mohamed Morsi dan lebih 100 tahanan kerana melarikan
diri dari sebuah penjara ketika kebangkitan rakyat pada tahun 2011.- Kedahnews.com