KPDNKK Bincang, Kaji Semula Kaedah Perlaksanaan GST


KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) kini dalam proses perbincangan bersama agensi-agensi berkaitan mengenai penambahbaikan terhadap pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Menterinya Datuk Seri Hasan Malek berkata terdapat ruang kelemahan dan kekurangan yang perlu dikaji semula dan ditambah baik sejak pelaksanaan GST pada 1 April lepas.

Beliau berkata sehingga kini KPDNKK menerima sebanyak 4,541 aduan berhubung GST bagi tempoh 1 hingga 30 April dan sejumlah 1,685 aduan sepanjang tempoh 1 hingga 26 Mei lepas.

“Daripada aduan yang diterima, kita akan kaji semula dan tambah baik pelaksanaan GST supaya dapat memanfaatkan pengguna dan rakyat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu Hasan menyampaikan diploma dan sijil kepada 128 graduan Maktab Koperasi Malaysia (MKM) terdiri daripada 107 penerima Diploma Pengurusan Koperasi dan 21 penerima Sijil Pengurusan Koperasi pada Majlis Konvokesyen ke-19 MKM di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata MKM memperkenalkan Skim Latihan Kerjaya Koperasi (SLKK) selama enam bulan kepada graduannya untuk mendapatkan pengalaman bekerja dalam selok-belok pengurusan dan aktiviti perniagaan koperasi.

“Seramai 50 pelajar yang layak akan dipilih sebagai kumpulan sulung yang akan mengikuti program itu di koperasi terpilih seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata peserta SLKK akan ditempatkan di koperasi besar seperti Koperasi Polis Diraja Malaysia, Koperasi Angkatan Tentera Malaysia dan sebagainya serta diberikan elaun bulanan sebanyak RM850 sebulan sebelum diserapkan ke jawatan tetap.

Sementara itu Hasan berkata Institut Koperasi Malaysia atau dikenali sebagai ICoop Malaysia akan mula menjalankan sesi akademik sulungnya pada Julai tahun ini dengan jumlah pelajar sebanyak 400 orang.

Hasan juga turut menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara MKM Global Holdings (MKMGH) Sdn Bhd dengan Institute of Materials Malaysia (IMM) yang ditandatangani Pengerusi MKMGH Datuk Ismail Nordin dan Presiden IMM Prof Dr Mohd Kamal Harun.

Kerjasama antara MKMGH dan IMM adalah bagi menjalankan program Latihan Pendidikan Teknik dan Vokasional (TVET) iaitu program ‘Blaster & Painter Certification’ dan program ‘Welder Certification’.- BERNAMA