KPDNKK Terpaksa Bekukan Cuti 2,000 Penguatkuasa Sejak 1 April

KUALA PILAH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) membekukan cuti 2,405 pegawai dan anggota penguat kuasanya sejak Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dilaksanakan pada 1 April lalu.

Menterinya Datuk Seri Hasan Malek berkata tempoh pembekuan masih belum diputuskan dan dijangka akan ditamatkan apabila aduan berkaitan GST berkurangan.

“Pembekuan ini adalah bagi membolehkan pegawai dan anggota memberikan perkhidmatan terbaik terhadap aduan yang dikemukakan rakyat menerusi operasi Ops Catut.

“Selain pembekuan cuti, bilik gerakan yang menerima aduan berkaitan GST juga masih beroperasi 24 jam,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Pengurusan Bencana peringkat Komuniti Kuala Pilah di sini hari ini.

Beliau berkata KPDNKK turut melantik 427 orang anggota penguat kuasa baru-baru ini untuk memantau aduan orang ramai.

Hasan berkata KPDNKK telah mengeluarkan 1,026 notis menerusi Ops Catut setakat 30 April membabitkan kesalahan kerana menaikkan harga barang.

“Dari jumlah tersebut, nilaian kompaun dikenakan adalah sebanyak RM424,316, berbanding 93 notis dikeluarkan dengan nilai kompaun sebanyak RM323,860 pada tahun lepas,” katanya.

Beliau berkata kementerian memandang serius terhadap peniaga yang mengambil kesempatan menerusi promosi atau iklan berkaitan harga barang yang bertujuan mengelirukan pengguna.

Sebanyak lima kes telah dikesan terhadap peniaga yang didapati mengambil kesempatan dan ia masih dalam peringkat siasatan, katanya.

Selain itu, beliau berkata sebanyak 2,144 notis telah dikeluarkan kepada peniaga yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutuan.

Daripada jumlah itu, 2,042 kerana kesalahan tidak meletakkan tanda harga barang yang dijual, 53 kes berkaitan kegagalan mempamerkan tanda harga khas merah jambu dan 19 kes kesalahan di bawah Seksyen 21(5) kerana enggan memberi maklumat, katanya.

Mengenai Program Pengurusan Bencana Peringkat Komuniti itu, Hasan berkata ia ditubuhkan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat berkenaan pengurusan bencana di peringkat kampung serta memahami tugas-tugas agensi penyelamat dengan lebih jelas. – BERNAMA