KUALA LUMPUR – Seramai 12 anggota polis ditahan berhubung kes
penyeludupan manusia di sempadan Malaysia-Thailand berikutan penemuan
139 kubur dan 28 kem di Wang Kelian, Perlis, kelmarin.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku
Jaafar, berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan
lapan anggota polis berkenaan manakala empat lagi polis ditahan agensi
itu sendiri.
“Ia masih dalam siasatan sama ada mereka terbabit secara langsung
atau hanya menjadi orang tengah kepada sindiket penyeludupan itu untuk
masuk ke Malaysia.
“Kita akan siasat semua pihak termasuk Unit
Pencegahan Penyeludupan (UPP), Imigresen, Renjer Negeri Perlis, Pasukan
Gerakan Am (PGA).
“Bukan hanya polis atau anggota penguatkuasa saja, sesiapa yang ada
bukti terbabit dengan penyeludupan ini kita akan ambil tindakan,”
katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen, semalam.
Sebelum itu
beliau menjawab soalan berhubung usul tergempar mengenai penemuan 139
kubur dan 28 kem mangsa pemerdagangan manusia di sempadan
Malaysia-Thailand.
Usul tergempar itu dibahaskan selama sejam bermula 4.30 petang tadi,
selepas dikemukakan Gooi Hsiao Leung (PKR-Alor Setar) pagi tadi dan
diluluskan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ismail Mohamed Said.
Dalam pada itu ditanya mengenai gesaan pembangkang supaya ditubuhkan
sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung penemuan kubur besar
berkenaan, Wan Junaidi berkata, setakat ini tiada keperluan untuk
berbuat demikian.
"Tak semua benda perlu ada RCI.
"Agensi polis ada 12,000 anggota penyelidikan, …kita akan siasat dari segenap segi,” katanya.
Bagaimanapun, Dr Wan Junaidi berkata ia terpulang kepada kerajaan sama ada untuk menubuhkan RCI atau tidak.
“Biar kerajaan kumpulkan cadangan daripada semua ahli Parlimen, barulah perkara ini boleh dibincangkan,” katanya.
Cadangan mengenai penubuhan RCI diajukan Sivarasa Rasiah (PKR-Subang)
ketika membahaskan usul itu. Sementara itu, Dr Wan Junaidi memberi
jaminan kerajaan akan memperhebatkan kerjasama dengan Thailand dalam
mengawal keselamatan di sempadan.
Kem yang dipercayai menempatkan pendatang asing yang telah dijumpai di Bukit Wang Burma, Wan Kelian. – Foto BERNAMA |
"Lokasi penemuan ini sangat susah diakses dari Malaysia.
"Untuk sampai ke tempat itu, kita perlukan sekurang-kurangnya tiga jam berjalan kaki.
"Di sebelah Malaysia sangat curam tetapi mudah diakses dari Thailand.
Mungkin ini antara sebab sindiket ini memilih kawasan berkenaan,"
katanya.
Pada Isnin lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar
mengesahkan penemuan 139 kubur pelbagai saiz di kawasan seluas 11
kilometer persegi di Gunung Perlis, Wang Kelian, Perlis.
Pihaknya juga turut menemui satu mayat yang hampir reput dan sejumlah
28 khemah yang dipercayai pernah digunakan sindiket pemerdagangan dan
penyeludupan manusia yang ditinggalkan kosong sejak beberapa bulan lalu.
Mengikut KPN, penemuan itu adalah susulan daripada Ops Wawasan Khas
Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) yang
dijalankan pihaknya sejak 11 Mei lalu.
Setakat ini, lebih 60 kubur besar pelarian Rohingya turut ditemui di
beberapa lokasi di wilayah Songkla yang bersempadan dengan Malaysia. - Berita Harian