Kubur Pelarian Di Padang Besar: Anggota Pasukan Keselamatan Disyaki Terlibat


ALOR SETAR - Perkembangan terkini mengenai kes penemuan 139 kubur di sempadan Malaysia-Thailand beberapa hari lalu menyaksikan pihak berkuasa sedang menyiasat kemungkinan pembabitan anggota keselamatan negara dengan sindiket penyeludupan manusia.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, terdapat beberapa laporan yang mengaitkan penglibatan anggota keselamatan dalam kes berkenaan.

Malah, mereka turut disyaki mempunyai rangkaian dengan sindiket di negara lain seperti Thailand, Bangladesh dan Myanmar selain bekerjasama dengan rakyat tempatan.

“Kami syak segelintir mereka tetapi kami sedang bekerjasama dengan jabatan perhutanan yang sepatutnya memantau kawasan tersebut termasuk sempadan Malaysia-Thailand.

“Namun saya perlu bincang perkara tersebut dengan menteri berkaitan,” ulas beliau.

Semenatara itu, pihak polis sedang membuat siasatan punca kematian pelarian yang dikebumikan di kawasan tersebut dan tidak menolak kemungkinan mereka telah dibunuh.

Menteri Dalam Negeri itu turut membuat pengesahan bahawa pihak berkuasa sudahpun membuat beberapa tangkapan namun butiran lanjut mengenai tindakan tersebut tidak dinyatakan.

Kes berkenaan telah menggemparkan warga antarabangsa setelah pihak berkuasa Malaysia menemui 139 kubur dan 28 kem pelarian yang dibina di kawasan pedalaman di Padang Besar, Perlis hujung minggu lalu.

Pada awal bulan ini, pihak berkuasa Thailand turut menemui beberapa kem dan kubur kira-kira 300 hingga 500 meter jaraknya dari sempadan Malaysia. -Kedahnews.com