KUALA LUMPUR – Sebanyak 77,865 permohonan Pengeluaran Fleksibel Umur
55 Tahun diluluskan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bernilai
RM2.68 bilion bagi tempoh suku pertama tahun ini iaitu dari 1 Januari
hingga 31 Mac lalu.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata,
jumlah kelulusan itu naik 37.37 peratus berbanding 56,681 yang
diluluskan pada tempoh sama tahun lalu.
“Amaun yang dikeluarkan di bawah Pengeluaran Fleksibel berjumlah
RM2.68 bilion berbanding RM1.88 bilion pada suku pertama 2014,” katanya
dalam satu kenyataan media hari ini.
Shahril Ridza dalam pada itu memaklumkan, penggunaan i-Akaun dalam
kalangan pencarum meningkat lebih 100 peratus pada suku pertama tahun
ini.
Menurutnya, ahli KWSP yang mengakses i-Akaun sebanyak 2,907,576 naik
102.65 peratus berbanding 1,434,770 pada tempoh sama tahun lalu.
“Peningkatan ketara penggunaan i-Akaun menunjukkan semakin ramai ahli
KWSP menyedari kepentingan memantau simpanan dan caruman KWSP yang
diterima daripada majikan mereka.
“Ini penting untuk memastikan majikan membayar caruman bulanan dengan teratur dan tepat pada masanya,” katanya.
I-Akaun merupakan kemudahan dalam talian yang memberi kemudahan
kepada ahli KWSP menyemak simpanan masing-masing melalui laman web myEPF
dan aplikasi mudah alih KWSP.
Shahril Ridza turut memberitahu, jumlah pelawat laman web myEPF naik
38.72 peratus daripada 3,065,986 pelawat pada suku pertama 2014 kepada
4,253,173 pada suku pertama 2015.
Menurutnya, ahli KWSP yang ingin mendapatkan maklumat mengenai cara
menguruskan simpanan KWSP mereka boleh juga mengunjungi Khidmat Nasihat
Persaraan (RAS) KWSP yang kini berada di cawangan KWSP Kuala Lumpur dan
Petaling Jaya.
“Sehingga kini, lebih 4,000 ahli KWSP telah mengunjungi RAS bagi
mendapatkan khidmat nasihat mengenai cara menguruskan dan meningkatkan
simpanan persaraan mereka.
“Disebabkan sambutan yang menggalakkan, KWSP merancang untuk
meluaskan RAS di enam cawangan utama di seluruh negara pada tahun ini,”
katanya.
Sumber: Mynewshub.cc