KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah menutup
rundingan awam bagi inisiatif penambahbaikannya setelah dibuka selama
dua minggu bermula 21 April lepas.
Rundingan itu yang juga merupakan rundingan awam terbesar di negara
ini, mendapat maklum balas sebanyak 96,448 daripada ahli KWSP.
Dalam kenyataan di sini hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk
Shahril Ridza Ridzuan berkata hasil keputusan rundingan tersebut akan
dianalisa serta dibentangkan kepada Lembaga KWSP untuk penghuraian dan
perbincangan mengenai tindakan seterusnya yang akan diambil untuk
penambahbaikan.
“Keputusan awal rundingan tersebut menunjukkan sokongan terhadap
pilihan untuk mengekalkan pengeluaran penuh pada umur 55 tahun serta
terhadap inisiatif-inisiatif yang lain,” katanya.
Di samping itu, Shahril memberi jaminan bahawa hasil keputusan
rundingan ini akan diumumkan secepat mungkin setelah dibentangkan kepada
Lembaga KWSP.
Beliau menambah pihaknya berbangga dengan rundingan awam tersebut
yang telah mendapat maklum balas menggalakkan daripada ahli KWSP.
“Berikutan kejayaan rundingan ini dan penglibatan yang menggalakkan
dalam kalangan ahli, KWSP akan menggunakan platform rundingan seperti
ini untuk berhubung secara aktif dengan ahli bagi inisiatif lain yang
berkaitan dengan persaraan mereka,” katanya. – BERNAMA