ALOR SETAR – Jabatan Imigresen Kedah menahan 12 warga asing atas
pelbagai kesalahan dalam operasi di sekitar Sungai Petani bermula lewat
malam semalam sehingga awal hari ini.
Pengarahnya Mohamad Yusri Hashim berkata operasi itu tertumpu di
Tikam Batu, Bandar Puteri, kawasan perindustrian Bandar Aman Jaya dan
Taman Tuanku Haminah di Sungai Petani.
Hasil pemeriksaan terhadap 73 warga asing, pihaknya mendapati 12
warga asing warga Vietnam, India, Thailand,Bangladesh dan Myanmar
berumur antara 28 dan 45 tahun telah melanggar peraturan Imigresen.
Daripada 12 yang ditahan itu, enam lelaki dan seorang wanita Vietnam,
seorang lelaki Bangladesh, seorang lelaki warga India dan seorang
wanita warga Thailand, tidak memiliki dokumen perjalanan sah, katanya.
“Mereka akan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63(Pindaan 2002),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sementara seorang lagi lelaki Bangladesh dan seorang lelaki Myanmar
pula ditahan atas kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen
1959/63 kerana tinggal lebih masa selepas tamat tempoh pas, kata Mohamad
Yusri. – BERNAMA