Laporan Terkini Operasi Gali Kubur Di Padang Besar


ALOR SETAR - Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menggali kubur-kubur yang ditemui di Padang Besar, Perlis bagi mengenal pasti sama ada ia milik pelarian Rohingya atau mangsa pemerdagangan manusia dari negara lain, seperti Bangladesh.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ujian forensik juga akan dilakukan bagi mengetahui jumlah mangsa yang dikuburkan berdekatan dengan 17 khemah yang dipercayai digunakan untuk menempatkan pelarian berkenaan.

“Bahagian forensik yang sama telah pergi ke Ukraine, jadi mereka mempunyai pengalaman yang banyak bagi mengenal pasti butir-butir serta bahan-bahan forensik,” katanya kepada pemberita di lobi Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau berkata pihaknya juga telah meminta kerjasama pihak berkuasa Thailand untuk berkongsi maklumat jika terdapat individu yang menjadi dalang pemerdagangan manusia berjaya meloloskan diri ke Thailand atau ke negara ini.

“Kerjasama dan pertukaran maklumat-maklumat ini bukan sahaja semata-mata atas dasar isu perundangan, tapi soal kemanusiaan,” katanya.

Semalam, Kementerian Dalam Negeri mengesahkan mengenai penemuan kubur-kubur oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) dan unit Komando VAT 69 yang menemui 14 khemah besar dan tiga khemah kecil di sempadan Malaysia dan Thailand.

Laporan terkini menjelaskan bahawa pihak berkuasa berjaya menemui lebih banyak kubur dan kem pemerdagangan manusia di sebuah kawasan pedalaman di sempadan Malaysia-Thailand.


Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan penemuan 139 kubur dan 28 kem tersebut dalam satu kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun sehingga kini, jumlah sebenar mayat yang dikebumikan di dalam kubur-kubur berkenaan masih belum dapat dipastikan.


Menurut Khalid, berdasarkan saiz penempatan yang dibina, ia berkemungkinan dihuni sehingga ratusan migran yang dibawa masuk malah kem bersaiz paling besar boleh menempatkan 300 individu pada satu-satu masa.

Isu berkaitan pelarian Rohigya mula kecoh diperkatakan setelah pihak berkuasa Thailand menemui kem pemerdagangan manusia dan kubur di sempadan Malaysia-Thailand awal bulan ini. -Kedahnews.com