Lebih 1 Juta Benih Udang Galah Dilepaskan Di Kota Kuala Muda

SUNGAI PETANI - Lebih satu juta benih udang dilepaskan ke perairan umum Sungai Muda menerusi Tapak Santuari Udang Galah, Kampung Permatang Pasir, Kota Kuala Muda, dekat sini, sejak Mei tahun lalu.

Pengarah Institut Penyelidikan Krustasea (FRI) Pulau Sayak, Dr Azhar Hamzah berkata pada tahun 2014, sejumlah 830,000 benih udang galah spesies Macrobrachium Rosenbergii dilepaskan ke kawasan berkenaan.

"Bagi tahun ini pula, sebanyak 270,000 benih udang galah yang telah dilepaskan, dengan sejumlah 70,000 benih dilepaskan pada awal Mac lalu manakala 200,000 benih lagi dilepaskan pada hari ini, merangkumi 180,000 di Kampung Permatang Pasir dan 20,000 di Kampung Jerung.

"Secara keseluruhannya, sudah lebih sejuta benih udang galah telah dilepaskan ke perairan Sungai Muda, sejak projek ini mula dilaksanakan pada tahun lalu," katanya selepas program pelepasan benih udang galah di Tapak Santuari Udang Galah, Kampung Permatang Pasir, Kota Kuala Muda, hari ini.   

Dr Azhar berkata usaha meningkatkan populasi udang galah di kawasan berkenaan akan terus dilaksana secara berkala, dengan 200,000 lagi benih udang galah bakal dilepaskan di lokasi sama.

Katanya induk udang galah diperolehi dari perairan ini dan pihaknya mendapati populasinya semakin bertambah daripada seekor kepada tiga hingga empat ekor udang galah yang matang untuk keluasan satu meter persegi.

Bagaimanapun Dr Azhar berharap mendapat kerjasama daripada penduduk setempat agar tidak melepaskan sebarang jenis ikan di kawasan perairan ini kerana dibimbangi akan mengancam benih udang galah yang baru dilepaskan.

Sementara itu, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Merdeka, Ali Yahya yang merasmikan program itu berkata, usaha dilaksanakan FRI Pulau Sayak dan Jabatan Perikanan itu dapat memastikan kelangsungan populasi udang galah.

"Selain itu, ia juga secara tidak langsung dapat membantu penduduk setempat yang terdiri daripada nelayan sungai, untuk meningkatkan hasil pendapatan," katanya.

Katanya beliau difahamkan, nelayan dapat menjual udang galah pada harga RM72 sekilogram kepada peraih, manakala harga pasaran pula dianggarkan sekitar  RM80 sekilogram. - Bernama