Lebih 10,000 Pengusaha Katering Dilatih Sedia Hidangan Sihat

SUNGAI PETANI – Kursus Katering Sihat yang diperkenalkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sejak lima tahun lalu mendapat sambutan memberangsangkan, dengan lebih 10,000 pengusaha katering sekitar Lembah Klang, sudah mengikuti latihan berkenaan.

Pengarah Bahagian Pemakanan KKM Rokiah Don berkata, objektif kursus itu ialah untuk memberi maklumat, pengetahuan dan kemahiran kepada pengusaha katering di seluruh negara mengenai hidangan makanan yang lebih sihat dan berkhasiat, saiz hidangan makanan serta cara menghidang yang betul.

“Kursus ini hanya memakan masa setengah hari atau sehari dan kita akan menjemput pengusaha katering yang berminat untuk menyertainya, ia tidak diwajibkan kepada semua pengusaha katering di negara ini,” katanya selepas Majlis Pelancaran dan sambutan Bulan Pemakanan Malaysia peringkat negeri Kedah, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail.

Rokiah berkata, sebagai permulaan, kebanyakan pengusaha katering yang mengikuti kursus terdiri daripada mereka yang mengendalikan majlis atau program anjuran kementerian dan agensi-agensi kerajaan.

“Bagaimanapun pengusaha lain turut digalakkan untuk menyertai kursus ini. Ia bukan sahaja melibatkan teori tetapi juga amali, kita akan bawakan cef untuk mengajar mereka cara memotong buah, persembahan hidangan dan cara hidangan buffet.

Sementara itu, Rokiah berkata, selain Kursus Katering Sihat, kementerian turut memperkenalkan satu lagi amalan gaya hidup sihat iaitu menerusi Kafeteria Sihat, yang memfokus kepada kafeteria di klinik kesihatan dan hospital di negara ini.

Setakat ini, terdapat 47 kafeteria sihat di seluruh negara, katanya. – BERNAMA