Lelaki Cuba Rompak Mesin ATM Guna Tukul, Pahat

Gambar Hiasan
IPOH – Seorang peniaga ayam ditahan selepas cuba merompak mesin juruwang automatik (ATM) di sebuah bank di Bercham dengan tukul dan pahat Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Sum Chang Keong berkata pihak polis menerima panggilan kecemasan kira-kira 4 pagi daripada sebuah syarikat pembekal peralatan keselamatan yang memaklumkan alat penggera di bank itu sedang berbunyi.

Beliau berkata anggota polis yang kemudiannya dihantar untuk memeriksa perkara itu mendapati seorang lelaki berada dalam keadaan mencurigakan di ruang menempatkan mesin ATM di luar bangunan bank berkenaan.

“Setelah diperiksa, pihak polis menemui peralatan untuk merompak di dalam raga motosikal suspek dan pemeriksaan lanjut mendapati penutup lapisan atas salah sebuah daripada mesin ATM itu telah terbuka dengan kesan diumpil.

“Suspek yang ditahan mengaku sengaja mencuri wang dalam mesin ATM itu,” katanya.

Lelaki berusia 43 tahun itu kini direman selama empat hari. – BERNAMA