Gambar Hiasan |
ALOR SETAR – Seorang lelaki gelandangan ditemui mati dengan kesan
kecederaan di kepala selepas terlibat dalam pergaduhan dengan seorang
lagi lelaki gelandangan di tempat letak kereta di Jalan Langgar, baru-baru
ini.
Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Adzaman Mohd Jan berkata pihaknya
menerima panggilan pada 11.15 pagi tadi berhubung kejadian pergaduhan di
tempat letak kereta belakang sebuah kolej di kawasan tersebut.
“Apabila anggota polis sampai di tempat kejadian, seorang lelaki
berumur 63 tahun dilihat sedang memegang kayu panjang manakala seorang
lelaki berumur dalam lingkungan 40-an terbaring di atas jalan.
“Kita mengesyaki suspek yang berasal dari Manjung, mempunyai masalah
mental dan kita akan menunggu pengesahan daripada pihak hospital,”
katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata suspek mempunyai enam rekod jenayah lampau melibatkan
kes di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379 Kanun
Keseksaan.
Adzaman berkata mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk bedah siasat. – BERNAMA