Lelaki Mengaku Salah Kes Dadah Mohon Dibenarkan Ikuti Rawatan Unit Psikiatri

Tertuduh bersalah tetapi merayu mahkamah memberikan hak kepada dirinya yang diubati unit psikiatri hospital.
SUNGAI PETANI – Seorang lelaki berhadapan tiga pertuduhan membabitkan dadah di Mahkamah Majistret 2 Sungai Petani semalam selain mengaku sedang diubati unit psikiatri hospital.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh ditahan pada 14 Mac lalu kira-kira jam 10.45 pagi di Ladang Kelapa Sawit Sungai Division, Sungai Petani kerana memiliki dadah jenis heroin dan monoacetyl morphines seberat 1.46 gram.

Akibat kesalahan itu tertuduh yang berusia 40-an didapati melakukan kesalahan bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 (pindaan 1983) dan boleh dihukum bawah Seksyen 12 (3) akta yang sama.

Bagi pertuduhan kedua, pada tarikh, waktu dan lokasi yang sama dia didapati memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 0.1 gram.

Oleh itu, dia didakwa melakukan kesalahan bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum bawah Seksyen 12(3) akta  sama.

Bagi pertuduhan tambahan pula, pada tarikh yang sama, kira-kira jam 1 tengah hari di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda, dia didapati mengambil dadah jenis morfin tanpa kebenaran.

Disebabkan itu, dia melakukan kesalahan bawah Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Merbahaya 1952 dan boleh dihukum bawah Seksyen 15 akta yang sama.

Pendakwaan dibacakan Timbalan Pendakwa Raya, Fauziah Daud.

Lelaki itu bagaimanapun mengaku bersalah  atas kesemua pertuduhan berkenaan namun, merayu agar mahkamah memberikan keizinan untuknya yang diubati di Unit Psikiatri Hospital Sultan Abdul Halim Sungai Petani, menjalani rutin jika diperlukan.

Majistret Arif Mohamad Shariff kemudian menetapkan tertuduh dijatuhkan hukuman penjara selama 15 bulan dari tarikh ditangkap untuk pertuduhan pertama manakala 12 bulan penjara bagi pertuduhan kedua dan hukuman itu dijalani serentak.

Dia juga dijatuhkan hukuman 18 bulan penjara bagi pertuduhan tambahan yang dijalankan secara berasingan selain dikenakan dua tahun pengawasan. -Sinar Harian