Lim Kit Siang Beri Bayangan Pakatan Rakyat Akan Berkubur 2 Minggu Lagi

Lim Kit Siang
Penasihat DAP, Lim Kit Siang meluahkan pandangannya yang membayangkan bahawa Pakatan Rakyat berkemungkinan besar akan berkubur dalam jangka masa dua minggu lagi.

Memetik laporan dari portal Malaysiakini, walaupun tidak memberikan gambaran secara jelas mengenai dakwaan tersebut, namun ia diyakini berkemungkinan merujuk kepada pemilihan pucuk pimpinan PAS yang bakal berlangsung pada 4 Jun depan.

"Masa semakin suntuk untuk Pakatan Rakyat. 

"Dalam masa dua minggu, Pakatan Rakyat boleh berkubur.

"Ini merupakan satu perkembangan politik yang paling lucu,"

Ahli Parlimen Gelang Patah itu turut menjelaskan bahawa Kerajaan Perpaduan antara UMNO dan PAS mampu dilaksanakan tidak lama lagi.

Pemilihan PAS pada awal Jun depan menyaksikan pertandingan antara dua pihak yang bertelagah di dalam parti itu melibatkan golongan pro-Pakatan Rakyat dan golongan yang tidak sealiran dengan pakatan tersebut.

Sebelum ini, DAP telah bertindak memutuskan hubungan dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan membayangkan Pakatan Rakyat akan berakhir sekiranya beliau kekal sebagai Presiden PAS pada muktamar kali ini. -Kedahnews.com