Penasihat DAP, Lim Kit Siang |
KUALA LUMPUR – Pakatan Rakyat berhadapan krisis bukan kerana isu
hudud, tetapi kerana Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak
berlaku jujur, tidak ikhlas dan khianat terhadap Dasar Bersama Pakatan
Rakyat.
Penasihat DAP, Lim Kit Siang mendakwa, tindakan Presiden PAS
menggunakan alasan agama untuk meminta umat Islam menyatakan kemarahan
terhadap DAP kerana membantah pelaksanaan hudud di Kelantan satu lagi
pengkhianatan.
“Adakah kemarahan terhadap Abdul Hadi dibenarkan, bukan
sahaja menurut agama Islam tetapi juga agama-agama lain di dunia kerana
beliau tidak berlaku jujur, tidak ikhlas dan khianat apabila terus
menerus melanggar Dasar Bersama Pakatan Rakyat serta prinsip konsensus
Pakatan Rakyat.
“Abdul Hadi terus melanggar Dasar Bersama Pakatan Rakyat yang
menjadi sebab kenapa Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat berada dalam krisis
dan tidak bermesyuarat lebih tiga bulan memandangkan Abdul Hadi
sewenang-wenangnya mengabaikan keputusan majlis pimpinan itu atau
membatalkan pandangan pimpinan PAS yang hadir ke mesyuarat itu melalui
kuasa vetonya,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Kit Siang berkata, perbuatan tidak jujur Abdul Hadi berlaku kali
pertama sewaktu Pilihan Raya Umum Mei 2013 apabila beliau memberi kuasa
kepada calon-calon PAS untuk bertanding di enam kerusi Dewan Undangan
Negeri (DUN) yang telah diperuntukkan kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR)
mengakibatkan kekalahan Pakatan Rakyat di kerusi berkenaan.
Menurutnya, kali kedua Abdul Hadi mengkhianati Pakatan Rakyat denngan
membatalkan keputusan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat pada 17 Ogos 2014
yang dihadiri pimpinan utama DAP, PKR dan PAS bahawa Presiden PKR, Datuk
Seri Wan Azizah Wan Ismail akan dilantik ke jawatan Menteri Besar
Selangor.
Katanya, Abdul Hadi seterusnya memungkiri komitmen beliau sendiri
kepada Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat dalam mesyuarat pada 8 Februari
2015 bahawa sebarang pindaan kepada Enakmen Jenayah Syariah Kelantan
1995 dan sebarang rang undang-undang persendirian di Parlimen berkenaan
pelaksanaan hudud mestilah terlebih dahulu dibentangkan kepada Majlis
Pimpinan Pakatan Rakyat.
“Kali keempat pula ialah ketika Enakmen Jenayah Syariah Kelantan 2015
dibentang dan diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan pada 19
Mac, tanpa merujuk kepada Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat dan kali kelima
ialah apabila Abadul Hadi sendiri mengemukakan usul rang undang-undang
persendirian di Parlimen berkenaan pelaksanaan hudud dalam sidang
Mac/April juga tanpa merujuk kepada Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat,”
katanya.
Malah, katanya, Abdul Hadi terus mengkhianati Pakatan Rakyat iaitu
kemunculan semula rang undang-undang persendirian oleh Presiden PAS itu
dalam sidang Parlimen Mei/Jun sekali lagi juga tanpa merujuk kepada
Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat.
“Sekiranya Dasar Bersama Pakatan Rakyat serta prinsip konsensus boleh
dimusnahkan oleh mana-mana satu daripada tiga parti komponen Pakatan,
maka asas untuk meneruskan Pakatan Rakyat sudah tidak lagi wujud,”
katanya.
Sumber: Mynewshub.cc