Sebuah premis yang tidak menjalankan aktiviti perniagaan disita kerana gagal menjelaskan tunggakan sewa. |
JITRA - Sikap segelintir penyewa premis milik Majlis Daerah Kubang Pasu
(MDKP) yang culas membayar sewa premis perniagaan memyebabkan mereka
diburu penguatkuasa.
Malah ada dalam kalangan penyewa bersikap mendiamkan diri dan gagal
menandatangani kontrak perjanjian yang sepatutnya dilakukan setiap dua
tahun sekali.
Perkara itu menyebabkan tunggakan jumlah sewaan yang sepatutnya
diterima MDKP semakin meningkat sehingga menanggung kerugian akibat
sikap penyewa berkenaan.
Setiausaha MDKP, Mohd Asrol Sany Awang Puteh berkata, sehingga bulan
lalu dianggarkan sebanyak lebih RM700,000 tunggakan terkumpul
membabitkan premis-premis di Kubang Pasu.
Menurutnya, premis tersebut meliputi gerai, medan selera, tapak pasar dan bangunan industri kecil dan sederhana (IKS).
"Bagi premis sewaan ini, mempunyai kontrak yang perlu diperbaharui oleh setiap penyewa bagi tempoh dua tahun sekali.
“Kita kesal dengan sikap sesetengah penyewa yang gagal melunaskan
bayaran sewa dan mengabaikan kontrak perjanjian tersebut,” katanya.
Premis disewa tidak digunakan
Dalam satu tinjauan Sinar Harian bersama penguatkuasa MDKP baru-baru
ini mendapati terdapat beberapa penyewa tidak menggunakan premis
berkenaan sebagai tempat tinggal mereka.
Seorang penyewa yang enggan dikenali berkata, aktiviti perniagaan yang
dijalankan sebelum ini tidak dapat diteruskan berikutan kawasan tersebut
tidak ramai pengunjung.
“Kawasan ini semakin sunyi dengan kehadiran orang ramai menyebabkan beberapa peniaga menutup kedai mereka.
“Itu menyebabkan ada penyewa menjadikan premis sebagai tempat kediaman.
Nak berniaga pun tak boleh sebab tak ada pelanggan sangat di kawasan
ini,” katanya yang ditemui di kawasan premis MDKP, di Tunjang, kelmarin.
Dalam pada itu, sebuah tapak pasar yang diwujudkan MDKP di kawasan
berhampiran juga didapati tidak dipenuhi peniaga walaupun disewa secara
bulanan.
Difahamkan, hanya hari-hari tertentu sahaja terutamanya jika terdapat pasar minggu kawasan tersebut dipenuhi peniaga.
Bagi hari-hari biasa, tapak pasar itu hanya digunakan beberapa penyewa yang menjalankan perniagaan barangan basah.
Penyewa culas diserbu
Susulan itu, Bahagian Penguatkuasa MDKP melancarkan satu operasi bagi
menyita premis yang mempunyai tunggakan bayaran di sekitar Tunjang, Rabu
lalu.
Dalam operasi itu, sebanyak enam premis disita pihak berkenaan
membabitkan peniaga yang gagal membayar sewaan dan gagal memperbaharui
kontrak perjanjian.
Pegawai Perhubungan Awam MDKP, Zainal Abidin Muhamad berkata, sebanyak
20 premis dikenal pasti gagal menandatangani perjanjian kontrak yang
perlu dilakukan setiap dua tahun sekali.
Jelasnya, dalam operasi ini MDKP lakukan sitaan terhadap enam premis
termasuk premis yang sudah ditinggalkan penyewa atau digunakan sebagai
tempat tinggal.
“Tindakan ini diambil selepas mereka diberikan notis supaya memperbaharui,
"Bagaimanapun notis tersebut diabaikan. Ada juga penyewa yang memberi
alasan mereka tidak menerima notis supaya tidak dikenakan tindakan
sita,” katanya.
Beliau berkata, kesemua premis yang disita melibatkan rumah kedai dengan jumlah tunggakan sebanyak RM4,798.
Menurutnya, terdapat sebuah premis yang beroperasi sebagai kedai
runcit, bagaimanapun penyewa turut gagal menandatangani kontrak
perjanjian selain mempunyai tunggakan.
"Untuk operasi kali ini kita tidak menyita barangan milik penyewa sebaliknya mengambil tindakan sitaan premis sahaja.
“Bagi premis kedai runcit tersebut, kita memberi tempoh selama seminggu
untuk penyewa memperbaharui kontrak dan membayar tunggakan sewa,”
jelasnya.
Pihak MDKP berharap penyewa premis dapat mengambil tindakan sewajarnya sebelum premis yang disewa disita pihak berkuasa.
“Kegagalan penyewa membayar kadar sewa bulanan menyebabkan MDKP
kerugian dan perancangan untuk menaik taraf bangunan premis juga tidak
dapat dilakukan dengan baik.
"Jadi kita meminta penyewa supaya memberi kerjasama dalam perkara ini,” katanya. -Sinar Harian