Makin Popular, Tapi Yuna Kecewa...

Yunalis Zarai
ALOR SETAR - Penyanyi terkenal negara, Yunalis Zarai atau Yuna, 29, yang kini semakin mengorak langkah menawan industri muzik di Amerika Syarikat menerusi album terbaharunya Material menyatakan dia berasa sedikit terkilan dengan dakwaan sesetengah pihak yang menyifatkan dirinya sudah lupa daratan.

Menurutnya, kritikan itu membuat dia merasa kecewa dan paling ‘makan dalam’ buat dirinya sepanjang melibatkan diri dalam bidang seni suara sejak tujuh tahun lalu.

“Kritikan yang paling teruk saya pernah terima ialah apabila orang menggelarkan saya seorang yang lupa daratan, lupa dari mana saya berasal.

“Yang menyedihkan kutukan itu bukan datang daripada orang dari negara luar, sebaliknya orang kita sendiri.

“Ianya satu perkara yang menyedihkan bilamana orang luar menyokong kerjaya saya, tetapi masyarakat di sini pula, bukan semua, hanya sesetengahnya tidak menyokong saya," kata Yuna dalam satu kenyataan.

Kata Yuna, bukan mudah baginya untuk berjuang dalam dunia seni yang serba mencabar sehingga terpaksa meninggalkan keluarga demi karier yang diceburi.


“Bukan mudah untuk saya meninggalkan keluarga di sini jadi saya perlukan segala sokongan dan dorongan positif dalam meneruskan kerjaya. Oleh itu, saya hanya memberikan fokus kepada peminat-peminat yang senantiasa menyokong sahaja,” katanya.

Difahamkan bahawa Yuna kini bernaung di bawah syarikat rakaman Verve Records yang dimiliki oleh pemenang anugerah Grammy, David Foster. -Kedahnews.com