Maksiat: Pelajar Tingkatan 3 Turut Dicekup Penguatkuasa

MELAKA – Seorang pelajar perempuan tingkatan tiga antara empat pasangan ditahan dalam operasi penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) di sini, Ahad.

Pengarah Jaim Ismail Hamid berkata, pelajar sebuah sekolah menengah di Masjid Tanah, Alor Gajah dekat sini ditahan bersama teman lelakinya berusia 22 tahun dalam sebuah bilik di hotel bajet di Jalan Tun Ali pada pukul 2.50 pagi.

“Kedua-dua mereka ditahan untuk siasatan lanjut dan Jaim akan memaklumkan perkara ini kepada ibu bapa dan pihak sekolah pelajar perempuan terbabit,” katanya kepada pemberita di sini, Ahad.

Beliau berkata dalam operasi tiga jam melibatkan 10 anggota penguat kuasa Jaim bermula 12 tengah malam tadi, jabatan itu menahan tiga lagi pasangan berumur 22 hingga 34 tahun di hotel berasingan di Kampung Lapan dan Malim di sini.

“Pasangan tersebut termasuk seorang wanita warga Indonesia berusia 28 tahun dan pasangannya lelaki Bangladesh berusia 34 tahun yang masing-masing telah berkeluarga,” katanya.

Ismail berkata, kesemuanya ditahan mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 iaitu bersekediaman/berkurung/bersunyian tanpa nikah yang memperuntukkan hukuman denda RM3,000 atau penjara 24 bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Beliau berkata, dalam operasi sama, dua pasangan lelaki dan wanita berusia 20an ditahan mengikut Seksyen 71 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 iaitu melakukan perbuatan tidak sopan di khalayak ramai ketika operasi dijalankan di Dataran 1Malaysia, Klebang di sini.- BERNAMA