Malaysia Tidak Iktiraf, Tak Layan Sebarang Tuntutan Ke Atas Sabah

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman.
KUALA LUMPUR – Malaysia tidak mengiktiraf dan tidak akan melayan sebarang tuntutan ke atas Sabah, kata Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.

Dalam kenyataan hari ini, beliau berkata Sabah telah diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan masyarakat antarabangsa sebagai sebahagian daripada Malaysia sejak 16 Sept, 1963.

“Kerajaan Malaysia menegaskan pendiriannya bahawa Malaysia tidak mengiktiraf dan tidak akan melayan sebarang tuntutan oleh mana-mana pihak ke atas Sabah,” kata beliau.

Anifah berkata kementerian telah memanggil Kuasa Usaha Kedutaan Besar Republik Filipina Medardo G. Macaraig pada 19 Mei berkaitan kenyataan oleh Presiden Filipina Benigno S. Aquino III berhubung tuntutan Filipina ke atas Sabah dalam satu temu bual pada 15 Mei.

Dalam temu bual itu, Aquino menegaskan bahawa Filipina tidak akan menggugurkan tuntutannya ke atas Sabah dan ada faktor-faktor yang perlu dipertimbangkan sebelum mengambil langkah untuk mengemukakan tuntutan. – BERNAMA