"Malulah saya..." - Tun M

ALOR SETAR –Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengaku telah dimalukanTan Sri Pandikar Amin Mulia yang menyangkal kenyataannya yang mendakwa bahawa Speaker Dewan Rakyat telah meletak jawatan.

Kata Dr Mahathir, tindakan Pandikar itu membayangkan seolah mantan Perdana Menteri itu berbohong kepada orang ramai mengenai dakwaan tersebut.


"Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia telah memalukan saya dengan berkata dia tidak letak jawatan.

"Dia kata seperti saya ini bohong. Ini tak payahlah. Malulah saya,” katanya di pelancaran buku ‘Dr Mahathir’s selected letters to world leaders’ di Perdana Leadership, di ibu negara, semalam.

Sebelum itu kecoh diperkatakan mengenai dakwaan Dr Mahathir yang mengatakan Pandikar ada datang berjumpa dengannya walaupun tidak diminta berbuat demikian.

“Dia ceritakan tentang perasan tidak puas hati dengan Datuk Seri Najib (Abdul Razak). Dan dia kata dia nak letak jawatan.

“Bahkan dia kata dia sudah tidak jadi speaker dah. Itu yang dia cerita kepada saya.

“Dia ceritalah sikit perasan tidak puas hati dengan layanan Parlimen terhadap dia sebagai speaker.

“Lepas itu dia tanya saya apa perlu saya buat. Saya kata kalau dia nak resign resignlah. Saya percaya dia cakap sudah bagi surat kepada Najib kata dia nak resign,” kata Dr Mahathir sebelum ini.

Di dalam ucapannya semasa melancarkan buku itu, Dr Mahathir berkata Pandikar tidak berpuas hati dengan hiasan dalaman di pejabat Parlimennya yang berada di dalam keadaan teruk dan mungkin juga itu antara sebab untuk beliau menyatakan "hasrat untuk meletakkan jawatan."

Dakwaan Dr Mahathir tentang peletakkan jawatan speaker Dewan Rakyat itu disangkal oleh Pandikar di dalam tempoh yang singkat selepas penafian dibuat oleh Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee.

Semalam, Pandikar seperti biasa mempengerusikan Persidangan Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen ke-13. -Kedahnews.com