Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat MARA, Rohayah Mohd Zain hari
ini menyatakan pinjaman pelajar Nur Fitri Azmeer Nordin, 23, ditamatkan
selepas dia disabitkan bersalah oleh mahkamah di London atas dakwaan
memiliki imej dan video pornografi kanak-kanak.
Menurut Rohayah, pihak Mara memandang berat kesalahan dilakukan oleh mana-mana pelajar di bawah tajaan organisasi tersebut.
“MARA menggantung pinjaman pelajaran beliau sejak ditahan reman pada November lepas atas pertuduhan itu.
“Bagaimanapun setelah didapati bersalah dan dijatuhi hukuman,
pinjaman tersebut ditamatkan serta-merta dan beliau dikehendaki membayar
balik keseluruhan pinjaman yang telah disalurkan,” katanya kepada Bernama.
Menurut laporan portal antarabangsa International Business Times,
Nur Fitri Azmeer dijatuhi hukuman penjara oleh Mahkamah Southwark
Crown, London selepas disabitkan dengan 17 kesalahan memiliki, membuat
dan menyebarkan gambar lucah kanak-kanak.
Penuntut jurusan Matematik di Kolej Imperial London itu mengaku bersalah di atas semua kesalahan tersebut.
Portal itu turut melaporkan Nur Fitri akan dihantar pulang ke
Malaysia sebaik sahaja selesai menjalani hukuman penjara selama lima
tahun.