MAS Akan Lepaskan Sahamnya Dalam Abacus

KUALA LUMPUR – Malaysia Airlines (MAS) akan melepaskan 8.84 peratus saham tidak langsungnya dalam Abacus International Pte Ltd, sebagai sebahagian daripada langkah menyelaraskan perniagaan dan melepaskan aset bukan terasnya.

Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat penerbangan itu berkata jualan berkenaan dijangka selesai lewat tahun ini.

“MAS dan 10 syarikat penerbangan utama lain di Asia akan menjual gabungan 65 peratus kepentingan dalam Abacus, sistem pengedaran utama global (GDS)bagi perjalanan di Asia Pasifik, kepada Sabre Corporation, yang kini memiliki 35 peratus kepentingan dalam Abacus,” katanya.

Abacus kini memberi perkhidmatan kepada lebih 100,000 ejen perjalanan di 59 pasaran di Asia Pasifik, dan memiliki hubungan global dan tempatan yang unik dengan syarikat penerbangan serta hotel, termasuk portfolio utama kandungan syarikat penerbangan kos rendah serta China.

Tertakluk kepada kelulusan kawal aturan tertentu, transaksi itu akan menjadikan Sabre sebagai pemegang saham tunggal dalam perniagaan Abacus. – BERNAMA