SHAH ALAM – Sebuah bangunan yang menempatkan asrama bagi 26 orang
pelajar Tahfiz Khairul Kalam di Jalan Kebun di sini terbakar pagi tadi.
Seorang guru Abul A’la Iskandar berkata kejadian pukul 7.38 pagi itu
menyebabkan peralatan seperti tilam dan katil di tingkat dua bangunan
mengalami kerosakan.
“Ketika itu para pelajar yang berusia antara sembilan hingga 16 tahun sedang mengaji di tingkat bawah bangunan.
“Kebetulan ada ibu bapa yang menghantar anaknya ke madrasah ini
ternampak asap dan mengesyaki berlaku kebakaran di tingkat dua bangunan
dan memklumkan perkara itu,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), para
pelajar akan ditempatkan sementara di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam.
Katanya JKM turut memberi bantuan berbentuk barangan keperluan termasuk bantal dan tilam.
Sementara itu Penolong Pengarah Operasi dan Penyelamat Bomba
Selangor, Mohd Sani Harul berkata kebakaran turut membabitkan bahagian
siling asrama.
Punca kebakaran sedang disiasat, katanya. – BERNAMA