Masih Wujud Lagikah Tradisi Menuntut Ilmu Hingga Ke Liang Lahad?

MASIH segar dalam ingatan pesan seorang murabbi:

“Setiap hari fizikal kita perlu kepada makanan dan minuman, begitu jua makanan jiwa kita perlu ditambah iaitu dengan bekalan ilmu yang bermanfaat.”

Tatkala tentera Barbar membakar kitab-kitab para ulama di Baghdad dan mencampakkannya ke dalam Sungai Tigris, maka di situlah titik permulaan umat Islam dijauhkan daripada ilmu oleh musuh Islam.

Kenapa usaha ini dilakukan oleh musuh Islam? Kenapa musuh Islam tidak menyerang umat Islam dengan mentaliti bermatlamatkan harta benda, wang dan kemewahan hidup? AL-Allamah Ibnu Qayyim menyebut kelebihan ilmu berbanding harta. Antaranya, ilmu adalah warisan para Nabi, sedangkan harta warisan para raja. Ilmu akan menjaga tuannya, manakala harta dijaga oleh tuannya.

Ilmu semakin bertambah jika diajarkan sedangkan harta pula akan berkurangan jika dibelanjakan ke jalan tidak berfaedah. Ilmu yang bermanfaat akan menatijahkan amal soleh yang hanya dimiliki oleh orang mukmin sedangkan harta boleh diperoleh atau dimiliki sesiapa sahaja baik Islam atau bukan Islam.

Jelaslah, jiwa yang dihidang dengan ilmu yang bernilai lagi bermanfaat akan memanifestasikan ummah yang berpaksi kepada kadar ketekadannya, manakala ketulusan jiwanya sesuai dengan kadar sifat kemanusiaannya, keberaniannya dalam menolak kejahatan dan kemungkaran dan lahirlah kesucian hati nurani yang sesuai dengan kadar kepekaannya terhadap kehormatan diri dalam menongkah arus kehidupan dunia yang penuh mehnah.

Keutamaan ilmu pengetahuan banyak dinukilkan dalam ayat al-Quran. Firman Allah SWT yang bermaksud: 
Allah SWT telah menyaksikan bahawasanya tiada Tuhan melainkan Allah jua, begitu pula para Malaikat dan para ilmuwan turut menyaksikan sama, iaitu Tuhan yang berdiri di atas keadilan. (Ali-Imran: 18)
Ayat ini menjelaskan bagaimana Allah SWT telah memulakan penyaksian itu dengan diri-Nya sendiri, keduanya dengan para malaikat dan sesudah itu dengan para ahli ilmuwan. Ini membuktikan betapa tingginya keutamaan ilmu pengetahuan dan kelebihannya serta kedudukan ahli ilmuwan di sisi Allah SWT.

Sementara itu, dalam surah al-Zumar ayat sembilan, Allah berfirman: 
"Katakanlah, tiada serupa orang yang berilmu pengetahuan dengan orang yang tiada berilmu pengetahuan."
Maka, jelaslah hukum mengenai perkara-perkara yang berlaku itu harus dikembalikan kepada kebijaksanaan orang yang berilmu pengetahuan, kerana martabat mereka ditingkatkan dengan martabat para Nabi dalam menyingkap hukum-hukum Allah SWT.

Begitu juga dalam hadis-hadis Rasulullah SAW yang banyak menyatakan berkenaan keutamaan ilmu pengetahuan. Baginda pernah bersabda yang bermaksud: 
“Siapa yang dikehendaki kebaikan oleh Allah, maka Allah akan meluaskan pengetahuannya dalam hukum-hukum agama dan akan diilhamkan-Nya petunjuk di dalamnya.” dan “Para ulama itu adalah warisan para Nabi.”
Ini membuktikan tiada martabat yang lebih tinggi daripada martabat kenabian dan tiada kemuliaan yang lebih utama daripada kemuliaan mewarisi martabat tersebut, kecuali para ulama yang ada pada masa kini.

Darjat kenabian

Cuba perhatikan, betapa ilmu pengetahuan itu dipersamakan seiring darjat kenabian dan betapa direndahkan martabat sesuatu amalan yang sunyi daripada ilmu pengetahuan, sekalipun orang yang beribadat itu cukup mengetahui ibadat yang dilakukan seharian, kerana kiranya ibadat itu ditunaikan tanpa ilmu pengetahuan, tentulah ia tidak boleh dinamakan sebagai ibadat.

Rasulullah SAW bersabda: 
“Kelebihan seorang alim ke atas seorang abid laksana kelebihan bulan purnama ke atas seluruh bintang-bintang di atas langit.”
Luqman al-Hakim berwasiat kepada anaknya: 
“Wahai anakku! Pergaulilah para alim ulama dan rapatilah mereka dengan kedua lututmu, sebab Allah menghidupkan hati dengan nur (cahaya) hikmat, sebagaimana Dia menghidupkan bumi dengan hujan lebat dari langit.”
Oleh yang demikian, keutamaan belajar dan mendalami ilmu pengetahuan merupakan salah satu faktor yang penting dalam usaha memartabatkan tradisi budaya ilmu dalam kalangan masyarakat. Dalam al-Quran banyak dijelaskan tentang bukti-bukti keutamaan belajar. Antaranya ialah, Allah swt berfirman dalam surah al-Nahl ayat 43 yang bermaksud: 
“Maka tanyakanlah para ahli ilmu pengetahuan, kiranya kamu tidak tahu tentang suatu perkara.”
Sementara itu, Rasulullah SAW bersabda: 
“Barang siapa menempuh jalan untuk menuntut ilmu pengetahuan, maka Allah akan mendorong baginya jalan ke syurga.” 
Berkata Ibnu Masud ra: 
“Hendaklah kamu mencari ilmu pengetahuan sebelum ia terangkat dan tanda terangkat ilmu pengetahuan itu dengan kematian ahli-ahlinya. Seseorang kamu tiada dilahirkan sebagai seorang yang sudah pandai. Jadi ilmu pengetahuan itu akan dicapai hanya dengan belajar.”
APABILA seseorang mempunyai ilmu maka ia wajib pula menyampaikan kepada masyarakat dengan pelbagai cara dan strategi, supaya umat Islam terkesan dengan ilmu tersebut. Oleh itu, proses pengajaran atau mengajar menjadi agenda yang terpenting agar tercapai matlamat tersebut.


Ini dapat dibuktikan melalui ayat-ayat al-Quran mengenai keutamaan mengajar. Antaranya, hendaklah mereka memberikan peringatan kepada kaumnya, apabila telah kembali kepada mereka nanti, moga-moga mereka berhati-hati. Tafsiran kepada ayat ini ialah memperingatkan mereka itu dengan pelajaran dan petunjuk yang diperolehnya.

Dalam hadis Rasulullah SAW juga banyak menyatakan keutamaan mengajar. Antaranya;
“Sesiapa yang mengetahui sesuatu ilmu lalu disembunyikannya, nescaya di hari kiamat nanti ia akan dikekang oleh Allah dengan tali kekang daripada api neraka.” 
Dan;
“Sesungguhnya Allah dan para Malaikat-Nya, begitu juga penghuni langit dan buminya, sehingga semut yang berada di lubangnya dan ikan yu di lautan, semuanya memohon rahmat bagi orang yang mengajarkan kebaikan kepada orang ramai.”
Begitulah kepentingan ilmu pengetahuan, keutamaan belajar dan mengajarkan ilmu memainkan peranan yang amat penting demi memastikan masyarakat kembali menghayati ilmu seterusnya membudayakan tradisi ilmu dalam kehidupan manusia.

Ilmu yang bermanfaat pada orang Islam ialah ilmu yang telah menerusi tapisan nilai-nilai Islam yang sekurang-kurangnya dapat mengukuhkan kebenaran Islam dan kekuatan Islam serta Muslim dalam segala aspek kehidupannya, sama ada di dunia dan akhirat.

Maka, untuk kuasai sesuatu ilmu perlu kepada pembacaan dan penelitian dari mata hati. Dengan ilmu, lahirlah keimanan dalam diri insan dan menjadi imam kepada segala amal ibadat. Ketakwaan kepada Pencipta itu natijah daripada ilmu, iman dan amal. Sungguh indah tarbiah Allah SWT kepada hamba-Nya. -Utusan