KUALA LUMPUR – MaxisONE telah melancarkan tiga tawaran baharu iaitu
penstriman tanpa had dan akses percuma ke Spotify Premium, keupayaan
untuk memancarkan siaran dari peranti ke dalam televisyen dengan
Chromecast dan berkongsi data internet melalui Pelan MaxisONE Share.
Ketua Perniagaan Pengguna, Dushyan Vaithiyanathan, berkata majlis
hari ini tidak sahaja melancarkan tawaran tersebut tetapi untuk
menunjukkan, peranti syarikat itu mempunyai kepelbagaian.
“Anda boleh melakukan banyak perkara melalui MaxisONE tanpa had,” katanya pada majlis pelancaran produk itu.
#MusicNow dengan Spotify Premium membolehkan semua pengguna Maxis dan
Hotlink dengan pelan internet mudah alih 1Gb ke atas membuat penstriman
muzik daripada Spotify Premium tanpa had dan tanpa caj data mulai 30
April hingga 31 Julai.
“Mereka juga boleh mendapatkan aplikasi bernilai RM14.90 secara
percuma dalam tempoh itu secara eksklusif daripada Maxis,” kata
Vaithiyanathan.
Maxis menjadi syarikat pertama yang memasarkan Chromecast Google di
Malaysia, sejenis alat mudah alih ‘Plug and Play’ yang membolehkan
pengguna memancarkan laman web popular seperti Youtube, permainan, foto
dan filem penuh daripada peranti peribadi kepada televisyen.
Peranti Chromecast ini boleh dibeli di semua pengedar dan pusat Maxis
dengan harga RM150 bagi pelanggan pelan MaxisONE sedia ada dan RM170
untuk pelanggan Maxis biasa mulai 23 April hingga 31 Mei 2015 atau
sementara stok masih ada.
Pelanggan pelan MaxisONE juga sekarang ini boleh berkongsi masa
berbual serta khidmat pesanan ringkat kepada mana-mana telefon mudah
alih atau talian tetap, dan apa-apa jumlah data dengan orang lain dengan
MaxisONE Share.
“Jika anda bukan pelanggan pelan MaxisONE, anda boleh membuat
pendaftaran dengan 1Gb data tambahan dan mula berkongsi dengan hanya
RM48 setiap bulan.
“MaxisONE Share terbuka untuk semua pelanggan pasca bayar pelan MaxisONE,” kata Vaithiyanathan.
Untuk maklumat lanjut pengguna boleh melayari www.maxis.com.my. – BERNAMA