Mayat Bayi Baru Lahir Ditemui Dalam Beg Plastik Di Bukit Mertajam

Gambar Hiasan
BUKIT MERTAJAM – Mayat seorang bayi lelaki dipercayai baru dilahirkan ditemui dalam beg palstik di hadapan sebuah bangunan berhampiran Masjid Jamek Jalan Baru di sini hari ini.

Jurucakap polis berkata mayat yang masih mempunyai uri itu ditemui seorang lelaki yang melalui kawasan berkenaan pada 12.45 tengah hari.

“Berdasarkan keadaan mayat, bayi berkenaan dipercayai baru dilahirkan dan mati sebelum ditinggalkan di hadapan bangunan yang agak sunyi itu. Jarak mayat itu ditemui kira-kira 100 meter dari masjid,” katanya.

Beliau berkata mayat bayi itu telah dihantar ke Hospital Seberang Jaya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, ACP Rusli Mohd Noor mengesahkan kejadian tersebut dan usaha mengesan pihak yang membuang mayat bayi itu sedang dibuat.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi pihak polis. – BERNAMA