Mayat Bayi Dipotong 15 Perbuatan Akibat Terdesak Pasangan Muda

ALOR SETAR - Siasatan pihak berkuasa mengenai kes mayat bayi dikerat 15 bahagian yang dijumpai di Johor baru-baru ini menunjukkan tindakan itu dilakukan oleh suspek yang terdesak perasaannya.

Pihak polis yang menyiasat kes berkenaan turut mengesyaki bahawa perbuatan kejam memotong dan mengerat bayi berkenaan dilakukan lebih dari seorang, dipercayai masih muda dan mungkin berada dalam lingkungan usia belasan tahun.

Sehingga kini, pihak polis masih belum dapat memastikan jantina bayi yang dipotong itu dan percaya jenayah berkenaan dilakukan dalam tempoh 48 jam sebelum ditemui.

"Suspek, kami percaya merupakan pasangan, mungkin memotong bayi itu bagi membolehkan mereka mengepam badan dalam tandas.”

"Sebab itu mungkin kepalanya tidak ditemui, ia mungkin ditanam di tempat lain kerana terlalu besar untuk dipam," kata sumber yang dipetik dari sebuah portal.

Difahamkan bahawa pihak berkuasa juga masih mengkaji beberapa petunjuk di mana seorang atau lebih dari seorang suspek dipercayai tinggal di flat kos rendah, lokasi sekitar di mana mayat bayi malang itu ditemui.

Berdasarkan maklumat, polis menyiasat sebuah rumah di Taman Mawar di Pasir Gudang pada jam 9 malam di mana wanita berusia dalam lingkungan 20-an ditahan sementara.

Namun, siasatan mendapati kedua-dua wanita itu tidak terlibat atau mempunyai kaitan dengan kes tersebut.

Pada 17 Mei lalu, mayat bayi dipotong 15 tanpa kepala dijumpai dalam perangkap sampah di pusat kumbahan sebuah flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Kempas Permai, Johor Bahru, dan mengejutkan ramai pihak.

Mayat bayi itu ditemui oleh kontraktor kumbahan kira-kira 10.30 pagi ketika melakukan kerja mengambil sampah di perangkap sampah loji itu. -Kedahnews.com