Mayat Lelaki Ditemui Dengan Kesan Tetak, Dibakar Di Merbau Pulas

KULIM - Mayat seorang lelaki tidak dikenali dengan sebahagian daripada tubuhnya mempunyai kesan terbakar ditemui di ladang kelapa sawit Kampung Bukit Chong, Merbau Pulas di sini hari ini.
  
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah Asisten Komisioner Mohd Nashir Ya berkata mayat lelaki tanpa identiti itu ditemui tiga pekerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada 10.50 pagi tadi, ketika melakukan pemeriksaan rutin di pencawang TNB.
  
Katanya hasil pemeriksaan mendapati mayat lelaki dewasa itu ditemui dalam keadaan tertiarap dengan kedua-dua tangan mangsa diikat manakala terdapat kesan tetak pada bahagian kanan kepala.
  
Terdapat juga kesan terbakar di bahagian tubuh mangsa bermula daripada perut hingga ke kaki, menurut beliau.
  
Mohd Nashir berkata mangsa dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum dibawa ke tempat kejadian dan dibakar bersama bungkusan kain terpakai yang digunakan untuk menimbus mayat itu.
  
"Kita percaya mangsa dibunuh kurang 24 jam dan suspek cuba untuk melupuskan bukti dengan membakar mangsa," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian hari ini.
  
Menurutnya kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. -Bernama