ALOR SETAR – Mayat seorang lelaki warga asing ditemui dalam keadaan
berulat dalam longkang di padang bola sepak Penjara Alor Setar
berhampiran Wisma Darul Aman di sini pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Adzaman Mohd Jan berkata pihaknya
menerima panggilan orang awam mengenai penemuan mayat pada 10.20 pagi.
Beliau berkata hasil pemeriksaan pada badan mangsa berusia 30-an itu
pihaknya menemui satu kad nama dan alamat mangsa dan masih menyiasat
untuk mendapatkan maklumat lanjut.
“Mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di
sini untuk bedah siasat. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,”
katanya ketika dihubungi di sini. – BERNAMA