Anggota Polis Forensik mengumpul bahan bukti pada sebuah kotak besar yang dijumpai bersama mayat wanita yang reput di sebuah hutan di Puncak Bukit Mutiara, Tanjung Bungah. - Foto BERNAMA |
GEORGETOWN – Mayat seorang wanita yang telah mereput dan disumbat ke
dalam kotak dijumpai di tepi belukar Puncak Bukit Mutiara, Tanjung
Bungah, di sini semalam.
Kotak berisi mayat itu ditemui berada kira-kira 20 meter dari kawasan
curam kaki bukit berkenaan oleh seorang lelaki yang sedang mengutip tin
dan botol pada jam 1.00 tengah hari.
Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Mior Faridalathrash
Wahid berkata siasatan awal mendapati wanita berusia lingkungan 30-an
itu memakai baju-T, berseluar pendek selain turut dibalut dengan
selimut.
“Mayat itu dipercayai telah dibuang lebih dari 10 hari,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.
Katanya identiti wanita itu tidak dapat dikenalpasti kerana tiada dokumen pengenalan diri ditemui di tempat kejadian.
Mior Faridalathrash berkata tiada darah atau kesan kecederaan luaran
di kesan pada tubuh wanita terbabit dan mayatnya dihantar ke Hospital
Pulau Pinang untuk bedah siasat.
Tinjuan mendapati tempat kejadian merupakan kawasan perumahan elit
yang terletak di kawasan berbukit-bukit dan agak sunyi serta jarang
dilalui orang ramai melainkan kaki-kaki joging dan pendaki bukit. – BERNAMA