ALOR SETAR - Sebagaimana yang kita tahu, lirik berbunyi "sakitnya tuh di sini… di dalam hati ku,” adalah antara bait di dalam lirik lagu terkenal, penyanyi Indonesia, Cita Citata.
Tidak dinafikan, irama lagu tersebut yang agak ‘catchy’ membuatkan ia
mendapat sambutan hangat di Malaysia dan lirik ayat ‘sakitnya tuh di
sini’ turut dijadikan sebagai bahan troll netizen di media sosial.
Namun disebabkan lagu ini jugalah, seorang doktor wanita membuat
laporan polis gara-gara sijil cuti sakit yang dikeluarkan olehnya diubah
dengan alasan ‘1 hari MC kerana sakit nye tuh di sini‘.
Memetik dari laporan Harian Metro, Dr Asmah Ghazali, 57 menyatakan perkara
tersebut yang dianggap sebagai ‘gurauan’ sebenarnya boleh menjejaskan
reputasinya yang sudah bertahun-tahun menjadi doktor.
“Gurauan ini memalukan dan menjatuhkan kredibiliti profesion saya sebagai seorang doktor perubatan,” jelasnya.
Menurut Dr Asmah, dia mula menyedari gambar sijil cuti sakit itu
tersebar setelah diberitahu oleh adik iparnya di Johor Bahru, melalui
WhatsApp.
“Saya diberitahu oleh adik ipar pada jam 1.45 petang kelmarin. Adik
ipar saya mahukan kepastian berhubung perkara itu kerana nama saya turut
tersebar pada gambar berkenaan.
“Pada mulanya saya sangkakan ia satu bentuk gurauan yang tidak
mendatangkan kesan. Namun saya terkejut apabila orang ramai turut
menghubungi saya dan bertanyakan perkara yang sama,” katanya lagi. - Kedahnews.com