COPENHAGEN – Sebuah sekolah belajar
masakan di Denmark didenda kerana memaksa seorang pelajar perempuan
Muslim menjamah daging babi ketika dalam kelas memasak, lapor agensi
berita Turki, Anadolu.
Pelajar berusia 24 tahun itu, yang sedang menuntut
di Sekolah Memasak Holstebro, diminta merasa hidangan yang dimasaknya,
seperti yang dilakukan semua pelajar lain, namun, hidangan tersebut pula
mengandungi babi.
Sebuah mahkamah di Denmark mengenakan hukuman
denda 40,000 krone (RM21,800) ke atas sekolah tersebut selepas pelajar
itu, yang tidak didedahkan namanya, memfailkan aduan secara rasmi
terhadap sekolah berkenaan.
Gambar hiasan |
Makanan mengandungi babi dan minuman beralkohol
yang memabukkan adalah jelas haram menurut ajaran Islam malah ia
termasuk semua hidangan yang terdedah kepada unsur mengandungi haiwan
dan cecair tersebut.
Pengadu itu menyatakan bahawa dia didiskriminasi
dari segi agama dan pada mulanya aduan pertama diterima oleh Lembaga
Layanan Saksama Denmark dengan sekolah tersebut telah didenda 75,000
krone (RM40,900).
Pelajar tersebut, yang berpindah ke Denmark dari
Libya ketika usianya masih lagi muda, berkata dia memang sudah
dimaklumkan bahawa daging babi dan wain akan disertakan dalam
resepi-resepi memasak di sekolah itu.
Gambar hiasan |
Tetapi dia tidak pula diberitahu bahawa dia juga
diwajibkan untuk merasa setiap hidangan yang dimasaknya itu pada akhir
sesi untuk menilai tahap keenakan makanan yang disediakan, lapor akhbar
berpengaruh, Politiken.
Pihak sekolah mendakwa, mereka cuma
meminta pelajar itu merasa sedikit dan bukan menelan langsung namun,
hujah tersebut gagal apabila pengadu memperdengarkan bukti audio kukuh
yang dirakamkan secara sembunyi.
Sekolah itu kemudian membawa kes ke
mahkamah tempatan peringkat lebih tinggi atas alasan pelajar tersebut
gagal menamatkan pengajian dan rayuan diterima dengan jumlah denda
dikurangkan. – Agensi