"Mentari Kombucha", Hasil Ilham Anak Peneroka Felda


MUADZAM SHAH – “Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan” menjadi pegangan Abdul Hadi Rahman, 25, apabila gagal mendapat pekerjaan sesuai dengan kelulusannya selepas tamat pengajian kira-kira tiga tahun lepas.

Enggan menjadi sebahagian daripada masalah pengangguran generasi muda peneroka tanah rancangan Felda yang menjadi isu ketika ini, anak jati Felda Keratong 1 itu memberanikan diri untuk menghasilkan produk sendiri.

Lulusan ijazah Sarjana Muda Teknologi Makanan dari Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) Terengganu pada 2013 itu memanfaatkan apa yang dipelajarinya dengan mencipta minuman kesihatan air teh probiotik berkarbonat ‘Mentari Kombucha’.

“Saya mulakan projek ini di rumah selepas tamat pengajian dengan menjalankan penyelidikan selama setahun sebelum mula mengeluarkan minuman ini secara serius awal tahun ini,” katanya.

Abdul Hadi berkata minuman yang dihasilkannya adalah minuman kesihatan yang diubah suai formulanya supaya serasi dengan cita rasa orang ramai.

“Kombucha ialah teh yang ditapai dengan beberapa jenis bakteria dan yis, secara tradisionalnya dikenali sebagai teh cendawan Mekah, teh mud mud, ibu som atau cendawan ajaib,” katanya ketika ditemui di kilangnya di Felda Keratong 10 dekat sini.

Katanya, bermodalkan wang simpanan berjumlah RM20,000, beliau mula menjalankan penyelidikan dengan turut dibantu oleh pensyarah Unisza Prof Dr Che Abdullah Abu Bakar.

Jelasnya minuman ini dihasilkan menggunakan teh hitam (Camellia Sinensis) dan mempunyai rasa yang masam, manis dan sedikit kelat teh.

“Ada yang berpendapat baunya seperti ditambah madu walaupun madu bukan sebahagian daripada bahan yang digunakan dalam proes pembuatan minuman ini,” kata Abdul Hadi.

Katanya, teh Kombucha yang kandungan antioksidan semulajadi dan asid organik diyakini dapat membantu mengimbangkan fungsi tubuh serta menggalakkan nyahtoksik.

“Kombucha juga bertindak balas mengikut kesesuaian tubuh seseorang serta turut digunakan untuk merawat batuk berpanjangan, ketidakhadaman dan kelesuan berdasarkan beberapa kajian saintifik yang dilakukan bagi membuktikan khasiat minuman ini,” katanya.

Abdul Hadi berkata kilangnya kini mampu menghasilkan sejumlah 20,000 botol air sebulan yang dijual dengan harga RM8 sebotol.

Mengulas isu pengangguran generasi muda peneroka Felda, beliau berkata masalah itu tidak mungkin berleluasa jika anak muda di kawasan itu bijak mengambil peluang menjana pendapatan sendiri.

Katanya, generasi muda di Felda tidak boleh terlalu bergantung kepada pekerjaan makan gaji atas dasar persaingan yang tinggi dalam mencari pekerjaan “Kebanyakan anak muda di Felda terlalu memilih pekerjaan dan akhirnya mereka menganggur sehingga timbul masalah gejala sosial yang banyak,” katanya sambil menasihatkan mereka untuk memanfaatkan peluang yang ada untuk menjana pendapatan. – BERNAMA