“Mereka Akan Muncul…Mereka Akan Datang,” - Mohd Najib

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak
SENDAI (Jepun) – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memberi jaminan yang eksekutif kanan dan bekas eksekutif kanan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) akan hadir untuk memberi keterangan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

“Pegawai terbabit akan hadir memberi keterangan kepada PAC, mereka tidak melarikan,” katanya apabila ditanya adakah mereka akan berbuat demikian.

Bercakap di sidang akhbar pada akhir lawatan rasmi tiga harinya ke Jepun, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, pegawai terbabit perlu menyelesaikan sesuatu.

“Mereka akan muncul…mereka akan datang,” katanya selepas dialog dengan pelajar di Universiti Tohoku di sini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Arul Kanda Kandasamy dan bekas CEO, Datuk Shahrol Halmi telah dijadualkan memberi keterangan kepada PAC hari ini, tetapi sebaliknya mereka memohon untuk memberi keterangan pada tarikh lain.

PAC diberitahu Kementerian Kewangan Jumaat lepas yang pendengaran 1MDB yang ditetapkan hari ini perlu ditangguhkan kerana Arul Kanda dan Shahrol tidak dapat menghadirinya berikutan komitmen di seberang laut.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Kuala Lumpur, 1MDB berkata, Arul Kanda dan Shahrol bersedia hadir di depan jawatankuasa itu dan berpeluang untuk menjelaskan kedudukan syarikat berkenaan.

Minggu lepas, PAC telah memulakan siasatan ke atas syarikat pelaburan strategik kerajaan itu yang menghadapi pelbagai tuduhan berkaitan kedudukan kewangannya. – BERNAMA