Nurul Amin Nobi Hussein, 25, (kanan) menceritakan detik-detik dia melarikan diri dari kem transit di Wang Kelian, Perlis ketika ditemui Bernama di sini hari ini. - Foto BERNAMA |
ALOR SETAR – “Dalam fikiran saya hanya ada satu sahaja – mati. Saya
hanya mahu mati kerana mati lebih senang daripada hidup,” menurut
seorang pendatang Rohingya yang berjaya melarikan diri dari kem transit
di Wang Kelian.
Bercakap secara eksklusif kepada Bernama hari ini, Nurul Amin Nobi
Hussein (lelaki), 25, berkata, sepanjang dua bulan penahanannya di kem
transit di Wang Kelian itu, beliau hilang segala harapan untuk hidup dan
hanya memikirkan tentang kematian.
“Sepanjang dua bulan di dalam kem transit itu tahun lepas, saya
dikurung seperti kambing dan ayam dalam kandang dan setiap masa
dikelilingi oleh kematian. Setiap hari lima hingga enam orang daripada
kami menemui ajal sama ada disebabkan penyakit atau dipukul dan
ditembak,” katanya.
Menurutnya, pendatang Rohingya bersesak-sesak di dalam apa yang
disifatkan sebagai ‘reban’ kecil yang menempatkan sehingga 200 hingga
300 orang, dengan lelaki dan wanita diasingkan reban mereka.
Antara lima hingga enam pengawal yang berbahasa Thailand, katanya,
berkawal 24 jam sehari mengawasi kira-kira 1,500 tahanan dengan
bersenjatakan batang kayu, pisau, pistol dan senapang.
“Tahanan tidak dibenarkan bercakap. Sesiapa yang bercakap akan
dipukul. Pengawal sering melaungkan “sleep, sleep, sleep,” mengarahkan
kami semua supaya tidur dan tidak bercakap antara satu sama lain,”
katanya.
Nurul Amin berkata, ‘reban’ itu dipagar oleh batang-batang kayu dan
didirikan di atas tanah lembut dan apabila hujan ia akan menjadi lumpur,
di mana tahanan hanya diberikan lampiran plastik untuk membolehkan
mereka duduk.
“Tahanan akan berdiri dan duduk di dalam lumpur air sekiranya kem
transit dilanda hujan lebat, menyebabkan ramai dalam kalangan tahanan
dijangkiti penyakit sehingga membawa maut.
“Ramai dalam kalangan tahanan Rohingya mengalami bengkak kaki akibat
terlalu lama duduk dalam lumpur, menyebabkan mereka tidak boleh bergerak
dan makan, dan seterusnya menemui ajal,” katanya yang berasal dari
Maungdaw, Myanmar.
Nurul Amin berkata, mereka hanya diberikan sedikit makanan iaitu nasi
berlaukkan ikan bilis dan ubi untuk menahan kelaparan, menyebabkan
ramai juga dalam kalangan mereka yang mati akibat kelaparan.
Menyifatkan apa yang berlaku di kem transit itu sebagai ‘neraka
dunia’, dia berkata, terlalu banyak peristiwa ngeri dan menyedihkan yang
tidak dapat dilupakannya selagi beliau hidup.
Antara peristiwa yang tidak dapat dilupakannya adalah bagaimana
pengawal-pengawal itu tanpa sebarang belas kasihan memukul sehingga mati
kanak-kanak berusia 12 tahun hanya kerana keluarganya di Myanmar tidak
mempunyai duit untuk membayar duit pembebasannya.
“Ada juga bayi yang baru berusia beberapa bulan mati kelaparan
selepas ibunya yang sakit serta kelaparan gagal menghasilkan susu badan
untuk anaknya.
Tidak lama selepas anaknya mati, wanita itu juga menemui ajal,” katanya sedih.
Selain itu, kata Nurul Amin, pengawal-pengawal terbabit turut merogol beberapa wanita itu.
“Kami boleh mendengar teriakan ketika wanita-wanita itu dirogol
secara beramai-ramai oleh pengawal berkenaan. Apa yang lebih malang, ada
antara wanita itu yang telah mengandung hasil perbuatan itu,” katanya.
Pengawal-pengawal tersebut disifatkannya lebih teruk daripada
‘haiwan’. Dia mengambil keputusan nekad untuk melarikan diri kerana
selepas dua bulan di kem transit itu merasakan kematian semakin
menghampirinya disebabkan keadaan sekeliling serta tidak mempunyai
sebarang duit untuk membayar sindiket.
Menurut Nurul Amin, anggota sindiket meminta bayaran daripadanya
sebagai syarat untuk melepaskannya ke Malaysia dan jika gagal
menjelaskannya, berdepan dengan penahanan lebih lama di kem transit itu
dan akhirnya kematian.
“Saya tidak boleh membayar mereka kerana tiada lagi duit selepas
menjual segala harta dan tanah untuk ke Malaysia. Mereka akan pukul saya
sampai mati jika saya tidak membayar mereka,” katanya.
Berdepan dengan kemungkinan ditahan lebih lama dan dipukul sehingga
mati oleh anggota sindiket, beliau bersama-sama lima yang lain nekad
melarikan diri pada jam 1 pagi selepas mendapati pengawal kem transit
itu tertidur.
Beliau terpaksa merangkak ratusan meter dalam keadaan gelap-gelita,
sebelum berlari ke dalam hutan, tanpa mengetahui arah tujuan.
“Dalam apa juga keadaan sekalipun, jika saya gagal melarikan diri
mereka (anggota sindiket) akan tembak mati saya atau jika terus tinggal
dalam tahanan, saya akan dipukul hingga mati kerana tiada duit.
“Mati adalah lebih baik daripada hidup,” kata Nurul Amin yang
membayar RM6,500 untuk menaiki bot selama 22 hari dari Maungdaw ke
sempadan Myanmar dan Thailand.
Setibanya di bandar sempadan itu, menurut Nurul Amin, pendatang
Rohingya itu akan dibawa menaiki trak-trak pikap menuju ke selatan
Thailand dalam perjalanan yang mengambil masa antara 10 hingga 11 jam.
Sementara itu seorang lagi pendatang Rohingya, Mohamad Osman Nurul
Amin, 22, pula menceritakan pengalamannya ditahan di sebuah lagi kem
transit di kawasan hutan di Padang Besar, Thailand, tahun lepas.
“Ia adalah neraka. Setiap hari soal kematian sentiasa bermain dalam
kepala saya. Pada ketika itu, kematian adalah jalan terbaik untuk
menamatkan segala penderitaan,” katanya.
Sama seperti Nurul Amin, beliau turut menjadi saksi pembunuhan dan
kematian dalam kalangan tahanan Rohingya di tangan pengawal-pengawal kem
yang kejam dengan memukul atau menembak mati menggunakan senjata api.
Bagaimanapun nasibnya lebih baik berbanding Nurul Amin kerana
keluarganya berkemampuan untuk membayar sejumlah duit kepada sindiket
yang bertindak membebaskannya selepas hanya sebulan ditahan di kem
transit itu.
“Sehingga kini, saya masih tidak dapat menerima kenyataan bagaimana
seorang manusia boleh berlaku begitu kejam kepada manusia yang lain,”
kata Mohamad Osman. – BERNAMA