Michelle Yeoh Sumbang RM400,000 Kepada Mangsa Gempa Bumi Di Nepal


ALOR SETAR - Aktres Hollywood kelahiran Ipoh, Tan Sri Michelle Yeoh mengumumkan beliau akan menderma sebanyak 100,000 Euro (RM408,000) sebagai bantuan dan pemulihan kepada mangsa-mangsa gempa bumi yang melanda Nepal, baru-baru ini.

Yeoh telah menyalurkan derma melalui Tabung Tindakan Kecemasan Nepal, Persatuan Sukan Automobil Nepal (Nasa) bagi tujuan bantuan dan pemulihan mangsa gempa bumi di sana.

Difahamkan bahawa Yeoh dan pasangannya, Jean Todt juga telah bertemu dengan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) Ban Ki-moon selepas gempa bumi itu dan meminta sokongan kepada mangsa-mangsa gempa bumi di sana.

Pada 25 April lalu Nepal dilanda gempa bumi besar berukuran 7.9 skala Richter dan disertai gegaran kedua pada 12 Mei lalu.

Setakat ini dilaporkan seramai lebih 8,500 orang terbunuh, lebih 15,000 orang cedera dan kerosakan bernilai berbilion-bilion dolar telah musnah akibat gempa bumi berkenaan. -Kedahnews.com