Misi Bantuan SMART Di Nepal Diiktiraf PBB - INSARAG

SEPANG – Penglibatan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dalam misi bantuan gempa di Nepal memberi pengalaman berharga untuk pasukan itu mendapat pengiktirafan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai ahli Kumpulan Penasihat Mencari dan Menyelamat Antarabangsa (INSARAG).

Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab berkata pasukan itu yang telah mula melakukan persediaan sejak tiga tahun lepas bakal menjalani penilaian INSARAG pada Februari tahun depan.

“Penglibatan pasukan SMART dalam misi kemanusiaan di Nepal secara langsung turut memberi peluang keemasan untuk mereka berkecimpung dalam ‘urban search and rescue’ yang merupakan salah satu elemen utama dalam penilaian itu nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyambut kepulangan pasukan SMART dengan pesawat AirAsia penerbangan D7193 dari Nepal di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), di sini, Rabu malam.

Pasukan SMART terdiri daripada 26 anggota itu menyertai misi bantuan kemanusiaan ke Nepal sehari selepas kejadian gempa bumi berukuran 7.9 pada skala Richter yang menggegarkan negara itu, pada 25 April lalu.

Katanya pasukan itu kini, berada pada tahap 70 peratus bersedia untuk dinilai badan antarabangsa berkenaan.

“Selebihnya kini, kita hanya perlu memantapkan persediaan dan memberi fokus dari segi dokumentasi di samping meneruskan latihan dan meningkatkan profesionalisme pasukan SMART,” katanya.

Beliau berkata SMART pada misi di Nepal itu dapat bekerjasama dengan ‘mentor’ iaitu pasukan penyelamat daripada Singapura sebaik tiba di negara berkenaan sebelum disertai Thailand, Brunei, Rusia dan China serta negara-negara lain.

“Jika kita lulus penilaian dan mendapat pengiktirafan tersebut, kita akan menjadi pasukan kedua di ASEAN selepas Singapura dan ketujuh di Asia sebagai pasukan mencari dan menyelamat yang diiktiraf di peringkat antarabangsa” katanya.

Jelasnya, pengiktirafan sebagai sebahagian ahli INSARAG adalah penting untuk pasukan SMART kerana ia akan memudahkan saluran bantuan kemanusiaan dari Malaysia ke negara yang mengalami musibah seperti bencana alam.

“Kehadiran pasukan INSARAG ini sangat dialu-alukan oleh mana-mana negara yang sedang dalam kesusahan kerana pasukan penyelamat ini dapat bergerak secara bebas dalam misi mereka termasuk penyediaan tempat tinggal dan pengangkutan tanpa bergantung kepada negara yang sedang ditimpa bencana,” katanya.

SMART yang ditubuhkan sejak 1994 telah menyertai pelbagai misi kemanusiaan termasuk di Acheh, Timor Leste, Turki dan Filipina serta Ukraine semasa tragedi pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH17. – BERNAMA