Mukhriz Ajak Pelabur China Masuk Kedah

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir
QINGDAO – Para pelabur China dipelawa meneroka peluang pelaburan di Kedah berikutan usaha kerajaan negeri untuk terus menyediakan persekitaran kondusif bagi pelabur asing.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir, berkata beliau sendiri boleh memberi jaminan bahawa kerajaan negeri itu komited sepenuhnya terhadap usaha memupuk persekitaran pelaburan yang mesra, terbuka dan berkualiti bagi menggalakkan pelaburan asing.

Malah, katanya, kerajaan negeri telah memulakan enam projek pemangkin, termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim dan Bandaraya Getah Kedah bagi menjadikan negeri itu maju dan berpendapatan tinggi pada masa depan.

“Kita merancang untuk memiliki sebuah lapangan terbang antarabangsa di Kedah dengan dua landasan iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim atau KXP. Buat permulaan, kita merancang menjadikan KXP sebagai hab kargo untuk industri, bukan sahaja di wilayah utara Semenanjung Malaysia tetapi juga bagi menampung keperluan di Selatan Thailand,” katanya dalam kunjungannya ke bandar Qiandao, hari ini.

Menurut Mukhriz, satu lagi hab utama yang sedang dimajukan di Kedah adalah Bandaraya Getah Kedah yang terletak sempadan Malaysia-Thailand, yang bertujuan memastikan kegiatan hiliran dan huluan komoditi dapat berkembang seiringan.

“Saya percaya sektor swasta di Malaysia bersedia menerima, malah mengalu-alukan para pelabur China untuk melabur di Kedah (sebagai rakan),” katanya.

Mukhriz berkata, Kedah yang berusaha muncul sebagai pusat pelaburan bertaraf dunia, turut mengutamakan aspek menyediakan infrastruktur terbaik dan perkhidmatan yang khusus dan melengkapi lokasi geografinya yang ideal untuk semua pelabur.

“Pada 2013, negeri Kedah berjaya menarik pelaburan bernilai lebih US$776 juta (RM2.5 bilion). Angka itu adalah lima kali lebih tinggi daripada yang dicatatkan pada 2012.

“Tahun lepas, kita memperolehi pelaburan (daripada sektor perusahaan) bernilai US$1.25 bilion (RM4.5 bilion),” katanya.

Mukhriz mengetuai Misi Perdagangan dan Pelaburan Kedah ke China ermula 12 hingga 15 Mei dan seterusnya ke Jepun pada 17 hingga 20 Mei.

Di China, Mukhriz menyaksikan majlis pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) dan syarikat China, Qingdao Lu Hai Feng Investment Co Ltd (Lu Hai Feng) bagi memajukan Terminal Perikanan Bersepadu Kedah (KIFT).

Ia bagi menjadikan Kedah sebagai pusat perikanan antarabangsa terbesar di Asia Tenggara khususnya bagi ikan tuna.

Selain itu, satu lagi MoU turut dimeterai antara China CAMC Engineering Co Ltd (CAMCE) yang syarikat milik kerajaan China, dengan rakan kongsinya dari Malaysia, KOSMO Group of Companies melibatkan kerjasama beberapa projek di Kedah khususnya sebuah stesen janakuasa.

Di Beijing, Muhkriz dan delegasi kerajaan negeri mengunjungi kilang kenderaan elektrik Beijing Auto International Cooperation (BAIC) yang juga antara pengeluar utama dunia kenderaan jenis itu, yang berhasrat menjadikan Malaysia sebagai hab mereka bagi pasaran di Asia Tenggara.

Bagi merealisasikan usaha itu, BAIC telah memeterai satu perjanjian kerjasama dengan syarikat Malaysia, Amber Dual Sdn Bhd, di kilang BAIC. 

Pengeluaran pertama kenderaan elektrik itu dijangka pada Julai tahun depan menerusi kilangnya yang akan dibina di Gurun, Kedah.

Misi itu turut menyaksikan satu lagi syarikat pengeluar kereta China, Great Wall Motors Co Ltd (GWM) yang memiliki jenama Haval dan Great Wall, memeterai MoU baharu dengan syarikat Malaysia, Go Automobile Manufacturing Sdn Bhd (Go Auto) bagi memperbaharui serta meningkatkan kerjasama mereka.

Go Auto terlibat dalam usaha pemasangan kenderaan GWM di kilang mereka di Gurun, Kedah. – BERNAMA