Mukhriz Mahu Bawa Lebih Banyak Teknologi Tinggi Terkini Dari Jepun

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir (tengah) mendengar taklimat daripada pegawai kilang Tsuji Oil Mill berkenaan proses penghasilan minyak buah ketika mengadakan lawatan ke kawasan Kilang Tsuji Oil Mill semalam. - Foto BERNAMA
MIE (Jepun) – Kerajaan Kedah mahu menarik lebih banyak pelabur dari Jepun meneroka peluang yang ada di negeri itu supaya lebih banyak teknologi tinggi terkini Jepun dapat dibawa masuk ke Kedah.

Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata Jepun sentiasa mengutamakan penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk menghasilkan teknologi terkini.

“Tak kira apa tahap pertumbuhan ekonomi dan industri, pihak swasta sangat tertumpu kepada R&D dalam pelbagai aspek teknologi. Banyak yang kita boleh guna pakai untuk pertingkatkan lagi kegunaan teknologi terkini di Kedah khususnya,” katanya kepada pemberita di akhir lawatan tiga hari beliau ke Wilayah Mie di sini pada Selasa.

Katanya menerusi lawatan ke Mie, kerajaan Kedah dapat memahami tentang pencapaian terkini di Jepun, khususnya teknologi penanaman padi, industri automotif dan industri tenaga boleh baharu.

Mukhriz berkata Wilayah Mie mempunyai banyak syarikat automotif, yang sentiasa menampilkan teknologi terkini dalam pembuatan kenderaan.

“Di Mie ni ada industri automotif seperti juga di Kedah, tetapi teknologi mereka ini berada pada tahap lebih tinggi iaitu pada tahap satu, di mana mereka ini yang terdekat kepada pengeluar kenderaan.

“Mereka ini banyak teknologi. Saya kagum bagaimana mereka urus operasi perkilangan, pengeluaran berbentuk menegak, sedangkan kita sudah biasa dengan bentuk mendatar atau rata, atas lantai.

“Mereka semuanya (menggunakan) robotik. Tiada keperluan untuk pekerja memasang komponen, kerana semuanya secara elektronik. Ini sangat mengagumkan. Harap teknologi ini boleh diguna pakai di Kedah,” katanya.

Sementara itu, Mukhriz berkata kerajaan negeri akan menimbang penggunaan teknologi terkini dari Jepun dalam pengendalian bahan buangan di kawasan perindustrian di Kedah bagi memastikan bahan buangan itu diurus secara lebih bersih dan teratur.

Mukhriz berkata bahan buangan, sama ada sisa pepejal atau air, perlu diurus menggunakan sistem yang baik, dan beliau melihat bahawa kilang-kilang di Jepun sangat memberi perhatian terhadap bahan buangan kilang mereka.

Katanya kilang-kilang di Jepun melihat kepada usaha memulihara alam sekitar sebagai cara meningkatkan lagi imej syarikat sebagai syarikat yang prihatin terhadap kepentingan menjaga alam sekitar.

“Saya kira dalam konsep pembangunan taman industri, elok juga jika kita tawar satu sistem pengendalian sia buangan termasuk cecair dan pepejal, dengan pendekatan bersepadu sebagai tarikan kepada industri untuk melabur dan membuka kilang di taman-taman industri di Kedah.

“Ini satu pendekatan yang boleh kita teroka. Saya berminat melihat teknologi terkini yang digunakan di Jepun untuk tujuan tersebut,” katanya.

Katanya walaupun kerajaan Kedah lebih cenderung kepada teknologi dalam bidang pertanian, tetapi kerajaan negeri turut berharap dapat mempelajari beberapa teknologi lain.

Terdahulu, Mukhriz melawat kilang F.Tech Inc, yang mengeluarkan alat ganti untuk pengeluar kenderaan.

Anggota delegasi kerajaan negeri turut melihat sistem pengurusan air buangan di kilang F.Tech Inc yang dikendalikan oleh syarikat Japan ALEI Co Ltd.

Turut sama dalam lawatan kerja itu ialah tiga anggota exco kerajaan negeri iaitu Exco Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi & Hal Ehwal Pengguna Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail; Exco Pembangunan Wanita & Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan, Datuk Suraya Yaacob serta Exco Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi & Teknologi Tinggi dan Sumber Manusia Datuk
Norsabrina Mohd Noor. – BERNAMA