Mukhriz Seharian Bakar Semangat Juang Anak Muda Permatang Pauh

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir
PERMATANG PAUH - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir membakar semangat juang anak muda Permatang Pauh supaya benar-benar nekad untuk menolak calon PKR, Datuk Seri Wan Azizah pada 7 Mei ini.

Kata beliau, demi memastikan nasib dan kebajikan rakyat terbela, rakyat di Permatang Pauh perlu berani melakukan perubahan dengan memilih wakil rakyat yang lebih baik berbanding Wan Azizah.

"Saya harap.. masyarakat Permatang Pauh buatlah perubahan.. buat perubahan dengan cara memilih tak lain tak bukan, calon Barisan Nasional (BN), Suhaimi Sabudin, yang tentunya akan melakukan yang terbaik.

"Bukan sekadar menjaga kebajikan, tetapi membela nasib masyarakat Permatang Pauh sebaik yang mungkin. Itu janji kami!", laung Mukhriz yang mendapat sorakan gemuruh dari anak-anak muda yang hadir di majlis santai anak muda di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Penanti, lewat petang tadi.

Kata Mukhriz, jentera BN dari Kedah sedia memberi bantuan sedaya mungkin untuk merealisasikan sejarah baru tercipta di Permatang Pauh dan memastikan kemenangan Suhaimi bersama rakyat di parlimen berkenaan.

"Tujuan kita bertandiang di sini dekat dua minggu ni.. tak lain tak bukan untuk membawa satu pembaharuan yang besar.. tujuan dia adalah untuk menjaga kepentingan dan membela nasib rakyat di Permatang Pauh," kata Mukhriz.
Mukhriz "bakar" semangat lebih 300 anak muda di Permatang Pauh untuk menamatkan parlimen yang sekian lama dikuasai oleh pasangan "suami isteri" demi membela nasib rakyat.

Menteri Besar itu hairan dengan prestasi ahli parlimen di situ sebelum ini yang tergamak tidak mempedulikan rakyat di kawasan sendiri berbanding rakyat di parlimen BN yang jauh lebih terbela dan dijaga kebajikannya.

"Saya sepanjang hari ni daripada pagi sampai petang dok berjumpa dengan orang ramai.. melawat orang sakit, orang tua-tua.

"Saya rasa hairan kerana mereka yang sepatutnya diberi pembelaan oleh wakil rakyat depa di sini tak mendapat pembelaan seperti mana yang biasa kita beri khidmat kepada masyarakat di kawasan kita.

Kata Mukhriz, mungkin sudah terlalu lama diwakili oleh "suami isteri yang sama" selama tujuh penggal , rakyat di Parlimen Permatang Pauh seolah tidak terasa perbezaan dengan parlimen-parlimen yang diwakili BN.

Namun apa yang jelas kata Mukhriz, rakyat Permatang Pauh seolah tidak dipeduli oleh wakil rakyat terdahulu sehingga nasib mereka tidak terbela sekiranya ditimpa masalah.

Justeru itu, Mukhriz menyeru seluruh anak muda di Permatang Pauh untuk melakukan perubahan di Permatang Pauh dengan menukar wakil rakyat mereka dengan memilih calon BN, Suhaimi Sabudin, sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh pada 7 mei ini. -Kedahnews.com