"Mukhriz Wajar Kaji Semula Enam Projek Mega" - Penganalisis Politik UUM

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir
ALOR SETAR - Kerajaan Kedah wajar mengkaji semula enam projek mega sama ada masih relevan atau sebaliknya setelah tidak disenaraikan dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11).

Penganalisis Politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Md Shukri Shuib berkata, ia bukan sahaja melibatkan kos dan peruntukan tinggi tetapi seolah-olah mahu dijalankan serentak di seluruh bahagian utara, selatan, timur dan barat Kedah.

Beliau berkata, kerajaan pusat mungkin melihat semua projek itu futuristik dan masih memerlukan kajian menyeluruh impak pertumbuhan ekonomi. 

"Bukan sahaja bagi Kedah, tetapi wilayah utara Semenanjung,” katanya kepada Sinar Harian.

Ia membabitkan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP), Bandaraya Aero Kedah (Kedah Aerocity), Lebuhraya Sungai Petani-Kedah Inner Expressway (Spike), Bandaraya Getah Kedah (Kedah Rubber City), Taman Sains dan Teknologi Kedah (Kedah Science and Technology Park) dan Bandaraya Sains Perubatan Kedah (Kedah Medical Science City) yang memerlukan peruntukan besar dan mungkin boleh dilaksanakan secara berperingkat.

Menurutnya, Kedah perlu menumpukan perhatian kepada pembangunan di kawasan Sungai Petani, Kulim, Alor Setar dan Jitra supaya impak pembangunan dan pertumbuhan ekonominya lebih ketara dan kemudian melimpah ke daerah lain.

“Sudah tiba masanya Kedah  memberi tema kepada pembangunan negeri dan bersifat fokus.

“Bangunkan kawasan berpotensi maju dan yang mempunyai permintaan tinggi terlebih dahulu dengan kerjasama swasta,” katanya.

Beliau berkata, tema pembangunan jangka masa lima tahun perlu diadakan di Kedah seperti pembangunan kawasan industri pelancongan dengan mewujudkan infrastruktur pelancongan baharu secara bersepadu dan tersusun.

“Sebaiknya tumpuan diberi kepada kawasan yang sudah mempunyai permintaan seperti Lembah Bujang berdekatan bandar pesat Sungai Petani dan bukan  melaksanakan pembangunan mendadak di seluruh negeri.

“Saya harap kerajaan pusat dapat membantu Kedah secara berterusan dalam menambah punca  pendapatan,” katanya.

Md Shukri berkata, projek dan fokus pembangunan yang boleh mencipta hasil baharu kepada negeri ini perlu menjadi agensi utama.

“Perolehan projek atau pembangunan itu dapat membantu mengupayakan hasil tambahan kepada perbendaharaan Kedah untuk diguna pakai bagi memajukan pembangunan lain,” katanya.

Terdahulu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir di Sidang Dun Kedah pada November tahun lalu menghuraikan perancangan enam projek itu dalam ucapan Bajet 2015 akan dilaksanakan bawah RMK-11.

Bagaimanapun, perancangan projek mega itu tidak disenaraikan dalam RMK-11 yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, baru-baru ini. 

Sumber: Sinar Harian