Muktamad, MARA Tidak Diberi Sebarang Keistimewaan Pada Nur Fitri

Nur Fitri Azmeer Nordin
ALOR SETAR - Ahli Majlis Amanah Rakyat (MARA), Nazir Hussin Aktar Hussin yang memaklumkan kemungkinan badan tersebut akan memberi peluang kedua kepada penuntut Kolej Imperial London, Nur Fitri Azmeer Nordin, 23, untuk meneruskan pengajiannya di sana semalam, telah mencetus kontroversi di kalangan orang ramai.

Kenyataan tersebut telah menimbulkan pelbagai reaksi kurang senang dari masyarakat Malaysia yang menggesa supaya pelajar itu tidak diberi sebarang keistimewaan ekoran kesalahannya yang jelas menjejaskan imej Malaysia, khususnya sebagai sebuah negara Islam.

Bagaimanapun semalam, Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat MARA, Rohayah Mohd Zain mengesahkan bahawa tindakan menamatkan pinjaman pelajaran Nur Fitri ditegaskan berkuatkuasa serta-merta adalah muktamad.

Nur Fitri turut dikehendaki membayar balik keseluruhan pinjaman yang telah disalurkan kepadanya sebelum ini.

“Selepas dia didapati bersalah dan dijatuhi hukuman, pinjaman itu ditamatkan serta-merta dan dia dikehendaki membayar balik keseluruhan pinjaman yang sudah disalurkan,” dalam satu kenyataan media.

Kenyataan tersebut dikeluarkan bagi menerangkan kedudukan sebenar setelah isu tersebut mendapat liputan meluas pengguna laman sosial.

Nur Fitri kini menjalani hukuman penjara di London sejak November tahun lalu setelah didapati bersalah atas tuduhan memiliki 30,000 bahan porno dalam bentuk gambar dan lebih 1,000 rakaman video aksi seks kanak-kanak. -Kedahnews.com