PUTRAJAYA – Individu Muslim yang menyertai kumpulan militan IS
dianggap terkeluar daripada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah, kata
Setiausaha Agung Persatuan Ahli Sunnah Wal Jamaah India, Syeikh Abu
Bakar Ahmad Al Malibari.
Beliau berkata tanggapan bahawa pelakuan ganas sehingga peringkat
membunuh oleh orang Islam yang menyertai kumpulan itu sebagai satu jihad
juga amat bertentangan dengan manhaj Wasatiyyah atau kesederhanaan yang
menjadi teras utama pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
“Aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah tidak pernah mengajar pengikutnya
tentang menjadi ekstremis, melakukan keganasan, kekerasan dan membunuh.
“Seruan jihad menurut Islam ialah bagi menegakkan agama Allah,
mempertahankan diri dan tanah air bukannya untuk memerangi golongan lain
atas nama jihad,” katanya.
Bercakap kepada pemberita melalui penterjemah ketika ditemui pada
Muktamar Ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah Sedunia Malaysia 2015 di sini pada
Khamis, Syeikh Abu Bakar berkata kematian mereka yang berperang bersama
kumpulan militan IS juga tidak boleh dianggap sebagai mati syahid.
Ini kerana, katanya asas perjuangan kumpulan itu telah terpesong dari
ajaran dan konsep sebenar jihad menurut syarak kerana peperangan itu
turut melibatkan pelakuan zalim dan ganas terhadap golongan kanak-kanak,
kaum wanita dan orang tua.
“Jihad yang paling besar ialah berjihad melawan atau mengawal nafsu
daripada membuat pembunuhan serta keganasan. Malah Islam juga tidak
pernah mengajak untuk berjihad kerana peperangan, sebaliknya jihad
menurut syarak hanyalah untuk mempertahankan agama, diri dan negara,”
katanya.
Sementara itu, Habib Abu Bakar Adni Al-Masyar, seorang ulama dari
Yaman berkata cetek tentang hakikat sebenar ajaran Sunnah Wal Jamaah
menyebabkan umat Islam sukar membezakan antara jihad dan pembunuhan
sehingga terdorong menyertai gerakan ekstremis, khasnya IS.
Walaupun Nabi Muhammad S.A.W dalam satu hadis mengatakan barang siapa
yang meninggal dunia dan tidak terdetik di dalam hatinya kecenderungan
untuk berjihad di jalan Allah dianggap mati dalam keadaan jahil, beliau
berkata mereka yang bersemangat untuk berjihad wajib terlebih dahulu
memahami konsep jihad mengikut kehendak agama.
Katanya pemahaman mengenai konsep jihad penting bagi mengelak
seseorang daripada diperdaya dengan semangat untuk berjihad kerana
biasanya perjuangan yang disertai akan melibatkan pembunuhan.
“Apabila berlaku pembunuhan tanpa ada dasar jihad di dalamnya, ia
dengan sendirinya telah terpesong dari konsep jihad yang ditetapkan
Islam, apatah lagi peperangan itu membabitkan pembunuhan sesama orang
Islam,” katanya.
Bertemakan ‘Mengenal Hakikat Ahli Sunnah Wal Jamaah’, muktamar tiga
hari bermula semalam anjuran Yayasan Perdana Ummah itu disertai 25 ulama
dari 15 negara. – BERNAMA