Myanmar Kuatkuasa Undang-Undang Batas Had Kelahiran Etnik Rohingya


ALOR SETAR - Boleh dikatakan hampir seluruh negara dunia menyedari tentang kekejaman dilakukan golongan sami Buddha di Myanmar terhadap puak Rohingya hingga sanggup membunuh dan menghalau masyarakat Islam tersebut dari tanahnya sendiri.

Dalam laporan terbaharu, Myanmar dilaporkan telah bertindakan menguatkuasakan pula sebuah undang-undang yang membataskan had kelahiran etnik malang itu di tanah airnya, dipercayai dilaksanakan khusus untuk etnik Rohingya.

Baru-baru ini, sebuah akhbar milik kerajaan, Alinn, melaporkan bahawa Presiden Myanmar, Thein Sein telah meluluskan undang-undang tersebut untuk dikuatkuasakan pada 19 Mei lalu.

Rohingya02e

Memetik laporan dari media antarabangsa, The Guardian, tindakan tersebut menggambarkan ketakutan pihak pemerintah terhadap populasi masyarakat Islam yang berkembang pantas di sana.

Ini berdasarkan tekanan yang diberikan oleh sesetengah pihak yang risau akan jumlah kelahiran etnik tersebut dan mendakwa mereka bakal menjadi majoriti di tanah Myanmar.

Negara tersebut memiliki 50 juta penduduk dan masyarakat Rohingya merupakan minoriti di sana dengan jumlah tidak melebihi 10 peratus populasi.

Berdasarkan undang-undang yang telah ditandatangani, pihak berkuasa di setiap wilayah boleh menguatkuasakan peraturan perancangan keluarga masing-masing.

rohingya-no

Walaupun ia tidak menetapkan hukuman kepada mana-mana pasangan yang mengingkari arahan, namun ia memberikan kuasa kepada pihak berkuasa tempatan untuk menjalankan undang-undang itu.

Lantas, aktivis hak asasi manusia berpendapat, undang-undang tersebut bakal membuka jalan kepada pihak terbabit untuk menjatuhkan denda berat buat keluarga Rohingya.

Peraturan baharu ini mengehadkan jangka masa 36 bulan atau kira-kira 3 tahun dari kelahiran terdahulu sebelum seseorang wanita boleh memiliki anak seterusnya.

Ketika ini, isu membabitkan etnik Rohingya mendapat perhatian masyarakat global setelah mereka bertindak melarikan diri ke negara sekitar Asia Tenggara termasuk Malaysia. -Kedahnews.com