PERDANA Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak hari ini menjawab beberapa
persoalan berbangkit yang hangat dikaitkan dengan beliau dewasa ini,
termasuk isu GST yang mendapat kritikan ramai serta beberapa tuduhan
lain yang dilemparkan mantan perdana menteri Tun Mahathir ke atas beliau
dan keluarga.
Semua ini dijawab menerusi pos terbaru di laman web rasm beliau, najibrazak.com.
Berkaitan isu GST Najib berkata, sebagai pemimpin negara beliau cuba
melakukan keputusan terbaik walaupun ianya membuatkan keadaan menjadi
agak sukar pada mulanya.
Pada masa ini ujar beliau, hanya satu daripada sepuluh rakyat
Malaysia membayar cukai pendapatan individu, justeru asas cukai perlu
diperluaskan bagi kebaikan ekonomi negara untuk jangka masa panjang.
Tambahan pula, 23% pendapatan semasa kerajaan yang bersumberkan
minyak dan gas, terjejas berikutan kejatuhan harga pasaran minyak dan
gas sedunia sekarang. Sekiranya berpegang pada sumber ini semata-mata,
maka ia boleh merencatkan usaha memajukan negara.
Tambah Najib, lebih 160 negara sudah mengamalkan GST sebelum ini
malah dalam kalangan negara ASEAN, Malaysia merupakan negara kelapan
mempraktikkan cukai jenis ini.
Negara jiran seperti Filipina, Kemboja, Vietnam, Laod dan Indonesia
malah mengenakan GST sebanyak 10% berbanding hanya 6% di negara ini,
ujar beliau.
Merujuk kepada tuduhan dilemparkan Tun Mahathir kebelakangan ini,
Najib menyifatkan kebanyakannya berbentuk fitnah dan berniat jatuh untuk
menjatuhkan dirinya semata-mata.
Antaranya kisah isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor memiliki
cincin bernilai RM24 juta yang kembali diselak Tun Mahathir dalam satu
ceramah di Ipoh baru-baru ini, jelas satu pembohongan.
“Ini semua pembohongan. Syarikat yang memiliki cincin itu sendiri
telah menjelaskan secara terperinci bahawa cincin itu tidak pernah
dibeli oleh Rosmah,” tulis Najib.
Mengulas tentang isu pembelian jet ganti yang digembar-gemburkan Tun
bahawa ianya tidak digunakan Yang Di-Pertuan Agong, Najib berkata
tuduhan itu nyata tersasar kerana Tuanku merupakan VIP pertama
menggunakan khidmat jet tersebut untuk ke Langkawi dan akan terus
menggunakannya pada masa akan datang.