Najib Perbetul Jawapan 1MDB, Perjelas Kekeliruan Pulau Cayman & Singapura

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan sekali lagi baki pelaburan di Pulau Cayman yang ditebus oleh syarikat pelaburan strategik milik Kementerian Kewangan, 1MDB berada di sebuah Bank di Singapura.

Najib ketika menjelaskan kekeliruan itu berkata baki pelaburan tersebut dalam bentuk aset dan bukannya tunai seperti yang diberitahu sebelum ini.

“1MDB telah menjelaskan bahawa baki pelaburan yang telah ditebus oleh 1MDB adalah dalam bentuk aset di dalam mata wang US Dolar di sebuah bank di Singapura bertujuan untuk mengimbangi liabiliti US Dolar syarikat.

“Bank ini merupakan penjaga bagi pihak 1MDB untuk aset tersebut.

“Berhubung dengan jawapan bertulis kepada Yang Berhormat pada 10 Mac 2015, jawapan tersebut adalah dipinda seperti kandungan bertulis di atas,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat menjawab pertanyaan ahli Parlimen DAP-Petaling Jaya Utara, Tony Pua Kiam Wee yang meminta Menteri Kewangan menyatakan sama ada 1MDB masih mempunyai USD 1.1 bilion secara tunai dalam akaun Bank BSI, yang ditebus dari pelaburan Pulau Cayman.

Sumber: TheRakyatPost