Najib Umum Saringan Kesihatan PERCUMA Untuk Pekerja Swasta

Gambar Hiasan
KUCHING – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan tiga penambahbaikan untuk kebajikan pekerja iaitu memperluaskan cuti tanpa rekod untuk kakitangan awam bagi kes kematian.

Perdana Menteri berkata, PERKESO juga akan menyediakan perkhidmatan saringan kesihatan percuma untuk pekerja swasta berumur 40 tahun ke atas secara bergerak ke premis majikan dan memperluaskan skim perlindungan kepada semua 6.5 juta pekerja tanpa mengira peringkat gaji.

“Ketika ini cuti tanpa rekod tiga hari hanya dibenarkan untuk kes kematian suami atau isteri, ibu bapa atau anak kakitangan awam, tetapi kini ia diperluaskan kepada ibu bapa mentua, ibu bapa angkat dan anak angkat,” katanya berucap pada majlis perhimpunan Hari Pekerja 2015 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) semalam.

Perdana Menteri juga menyifatkan sambutan Hari Pekerja 2015 sebagai sejarah baharu apabila buat pertama kalinya dianjurkan bersama dua kesatuan sekerja iaitu MTUC dan CUEPACS. 

Malah beliau turut kagum sambutan yang pertama kali diadakan di Sarawak itu berjaya menarik kehadiran kira-kira 10,000 pekerja yang dianggapnya terbesar pernah dianjurkan setakat ini. - Berita Harian