KUALA LUMPUR – Nasib kakitangan Malaysia Airlines (MAS) yang dilapor
akan diberhentikan mendapat perhatian anggota Parlimen yang menuntut
kepentingan pekerja terbabit diutamakan dalam menyelesaikan isu itu.
Datuk Johari Abdul Ghani (BN-Titiwangsa) berkata pekerja terlibat
perlu dibantu memandangkan mereka mempunyai keluarga dan komitmen
hutang.
“Puasa juga sudah dekat, hari raya Aidilfitri tidak lama lagi, jadi
bagaimana nasib mereka ini jika tidak dibantu,” katanya ketika
membahaskan Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) di Dewan Rakyat di
sini, hari ini.
Justeru, beliau mencadangkan agar pihak pengurusan memberikan
pampasan sewajarnya jika terpaksa membuang pekerja berkenaan dalam usaha
menyelamatkan syarikat penerbangan nasional itu.
Katanya, ia bagi membolehkan pekerja terlibat menyelesaikan komitmen mereka selain membantu memulakan hidup baru.
Johari turut mencadangkan pekerja-pekerja yang mempunyai komitmen
pinjaman seperti MARA dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional
(PTPTN) diberikan pengecualian bayaran sementara mendapat pekerjaan
baharu.
“Saya juga mencadangkan agar kakitangan yang terlibat dibenar
mengeluarkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan lebih awal
bagi memulakan perniagaan atau membayar hutang sedia ada,” katanya.
Media tempatan sebelum ini melaporkan MAS bersedia membuang
sekurang-kurangnya satu pertiga daripada pekerjanya sebagai jalan
terakhir untuk menyelamatkan syarikat penerbangan itu.
Menyentuh isu sama, Hasbi Habibollah (BN-Limbang) pula memohon
kerajaan memberikan tawaran terbaik sebagai jaminan masa depan kepada
kakitangan terlibat.
“Kalau nak buat sesuatu pembaikan atau menyelesaikan masalah dalam
memajukan ikon kebangsaan ini, diharap kerajaan bagi tawaran terbaik
kepada pekerja MAS,” katanya.
Abdullah Sani Abdul Hamid (PKR-Kuala Langat) pula berpendapat pelan
pemulihan semula MAS seharusnya bermula daripada pengurangan
perbelanjaan di peringkat pengurusan dan bukannya dengan mengurangkan
jumlah pekerja.
“Potong elaun-elaun yang memewahkan pihak pengurusan, vendor serta food and beverage perlu dilihat semula,” katanya. – BERNAMA